Koleksi Artikel

KEMUKJIZATAN AL-QURAN:CABARAN INSAN CEMERLANG UMAT TERBILANG

 (Himpunan kertas kerja dan artikel ilmiyyah)

 

 

Nukilan:

 

Dr Hj Mohd Fahmi Bin Abdul Khir

Pengerusi, Pondok Air Jernih

Pensyarah Kolej Komuniti Gerik

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

ISI KANDUNGAN

 

Kertas kerja 1:

KEMUKJIZATAN AL-QURAN:CABARAN INSAN CEMERLANG UMAT TERBILANG

 

Kertas kerja 2:

PUASA RAMADAN: SATU IBADAT YANG UNIK

 

Kertas kerja 3:

KEMUKJIZATAN AL-QURAN: TINJAUAN DARI SUDUT BAHASA

 

Artikel Ilmiyyah 1

PENYEMBELIHAN KORBAN: BUKTI KEMUKJIZATAN SYARIAT AL-QURAN

 

Artikel Ilmiyyah 2

MUNGKINKAH  RAYA SERENTAK

 

Artikel ilmiyyah 3

KHUTBAH PERLU NAFAS BARU

 

Artikel Ilmiyyah 4

KEUNIKAN PENURUNAN AL-QURAN DAN PENGUMPULANNYA

 

Artikel Ilmiyyah 5

H1NI:BUKTI KEKUASAN TUHAN

 

Artikel Ilmiyyah 6

MEKAH  PUSAT BUMI

 

Artikel Ilmiyyah 6

LINGKARAN API PASIFIK DI DALAM AL-QURAN

 

Artikel Ilmiyyah 7

BERTOLAK ANSUR  PERKARA YANG DIPERSELISIHKAN

 

Artikel Ilmiyyah 8

LIMA BUKTI KUKUH MUHAMMAD S.A.W SEORANG RASUL

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Kertas Kerja 1[1]:

 

KEMUKJIZATAN AL-QURAN:CABARAN INSAN CEMERLANG UMAT TERBILANG

 

Pendahuluan

 

Dalam zaman sains dan teknologi kini, juga dalam zaman Islam dan Umatnya kini dicemuh dan ditindas, kita tidak punya pilihan lain melainkan kembali kepada al-Quran dan berpegang teguh dengannya.

 

Al-Quran al-Karim  padanya khasisah yang tiada pada kitab-kitab yang lain iaitu khasisah i`jaziyah(kemukjizatan). Bermula dengan kemukjizatan bahasa  al-Quran di mana al-Quran  diturunkan di dalam bahasa Arab yang mubin. Dikagumi olah para pujangga Arab ketika itu yang terkenal dengan kehebatan berbahasa. Diikuti dengan kemukjizatan-kemukjizatan yang lain seperti i’jaz nafsiy, i’jaz ‘adadiy dan sebagainya. al-Quran juga mengisyarat pelbagai teori-teori sains, geografi, perubatan dan lainnya bagi menjelaskan kemukjizatannya. Syariat Islam yang telah digariskan oleh al-Quran merupakan  syariat yang lengkap yang sama sekali tidak mampu diada-adakan oleh manusia. al-Quran juga menyajikan peristiwa-peristiwa lampau dan menggambarkan peristiwa-peristiwa akan datang yang kesemuanya terbukti benar[2].  Inilah al-Quran,setiap hurufnya mempunyai kemukjizatan tersendiri. Allah s.w.t berfirman:

  

لَا يَأتِيْهِ البَاطِلُ مِن بَيْنَ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ تَنْزِيْلٌ مِنْ حَكِيْمٍ حَمِيْدٍ

Maksudnya :Tidak ada di dalamnya (al Quran) sesuatu yang sia sia.  Ia diturunkan oleh yang maha bijaksana lagi terpuji. (Surah Fussilat : 42)

 

Apa yang lebih penting sekarang ialah kita membongkar rahsia kemukjizatan al-Quran yang berupa ilmu pengetahuan yang ada pada al-Quran sebelum ianya ditemui oleh orang-orang kafir. Kita tidak hanya merujuk kepada al-Quran selepas teori  itu dan ini ditemui tetapi kita mencetus sesuatu yang baru dari al-Quran sebelum ianya ditemui. Begitu banyak ayat-ayat al-Quran yang mencabar orang-orang yang beriman agar membongkar rahsia ilmu dalam pelbagai bidang. Namun usaha ini memerlukan kerjasama dari kalangan professional dan ahli al-Quran. Jika kita mengkaji al-Quran kitalah orang yang pertama menemui teori wujudnya bahanapi di dalam tumbuhan, Jika kita mengkaji al-Quran kitalah orang yang pertama yang mereka cipta kenderaan dan begitulah seterusnya.

 

Insan cemerlang dan umat terbilang adalah insan dan umat yang berilmu. Tamadun barat kini telah jauh meninggalkan kita walaupun suatu ketika dahulu kita telah mengepalai tamadun manusia dengan jayanya. Biar sejauh mana mereka meninggalkan kita namun kita punya al-Quran sebagai panduan dan pedoman. Kita yakin, dengan al-Quran kita pasti akan kembali menguasai tamadun ini.  Al-Quran dengan segala kemukjizatan dan rahsia yang belum dibongkar seharusnya menjadi cabaran buat insan cemerlang umat terbilang.

 

 

Al-Quran mukjizat terbesar

 

Ia adalah Kalam Allah s.w.t, susun aturnya adalah Tauqifiy[3]. Rasulullah s.a.w menentukan(atas wahyu dari Allah s.w.t) susun atur surah-surahnya dan ayat-ayatnya. Tiada siapa yang berhak merubahnya walau satu baris, walau satu huruf. Penurunannya, pengumpulannya, pembukuannya tiada siapa yang boleh mencetuskan sebarang keraguan. Bahkan ia akan terus terpelihara hingga ke hari  Kiamat[4]. Ia bukan hanya ilham pendita atau bayangan paderi semata bahkan ia terpelihara di dada-dada para sahabat r.a dan para huffaz al-Quran. Penurunan, pengumpulan dan pembukuan al-Quran sehingga ia sampai kepada kita hari ini terbina atas fakta sejarah yang kukuh bukan hanya imaginasi dan ilham para pendita dan paderi. Ia bukan Bible umat Masihi dan ia bukan Talmud umat Yahudi[5].

 

 

Apakah ada makhluk di atas muka bumi ini yang mampu mengada-adakan sebuah kitab seperti al-Quran al-Karim? Satu ayat, satu huruf  bahkan satu baris dari al-Quran, tiada siapa yang boleh merubahnya. Ia terpelihara di sisi Allah s.w.t. Kesemuanya mengandungi makna mendalam yang ingin disampaikan[6]. Justeru al-Quran adalah mukjizat terbesar kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.

 

Kemukjizatan al-Quran merujuk kepada dua aspek berikut[7]:

 

1.  Cabaran al-Quran terhadap golongan yang menentang kebenarannya supaya mendatangkan ayat-ayat seperti al-Quran. Al-Quran yang turun dari Tuhan yang maha berkuasa hakikatnya menjangkau kemampuan manusia.  Ini jelas dilihat dari kegagalan  orang-orang arab yang mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam bidang bahasa dan retorik arab untuk mengadakan ayat-ayat seperti al-Quran

 

2.  Keindahan, keunikan dan isyarat  al-Quran yang merujuk kepada pelbagai bidang samada bahasa, sains, perubatan, geografi, bilangan dan lain lain yang menjangkau pemikiran manusia bahkan itulah janji Tuhan yang akan menunjukkan kekuasaannya dari segala kejadiannya. Allah s.w.t berfirman:

 

سَنُرِيهِم آيَاتِنَا فِي الأفَاقِ وَفِي أَنْفُسِهِم حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أنه عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ  شهيد

Maksudnya: Maksudnya : “Kami akan menampakkan kepada kamu tanda tanda kekuasaan Kami di segenap ufuk dan pada diri kamu sendiri  sehingga nyatalah bagi kamu bahawa Dialah yang maha benar,Dan apakah Tuhanmu tidak cukup bagimu bahawa Dia menyaksikan segala sesuatu “(Surah Fussilat : 53).

 

Mungkinkah ada makhluk yang mampu mencipta kitab seperti al-Quran? Dengan segala kemukjizatannya? Tidak sama sekali. Bayangkan sehingga bilangan perkataannya pun punya nilai kemukjizatan. Umpamanya bilangan perkataan hari(اليوم dan يوم 349 kali dan يوما 16 kali) tersebut di dalam al-Quran sebanyak 365 kali(jumlah hari dalam setahun). Bilangan perkataan bulan(شهر ) tersebut sebanyak 12 kali meyamai 12 bulan dalam setahun[8]. Belum lagi diketengahkan kemukjizatan syariat al-Quran, kemukjizatan saintifik di dalam al-Quran, kemukjizatan bahasa dan bacaan al-Quran dan kemukjizatan-kemukjizatan yang lain.  

 

Marilah kita meyakini bahawa kemukjizatan al-Quran adalah senjata umat Islam kini. Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada umat Islam pada hari ini. Namun mereka tidak akan berjaya menohmah al-Quran. Bahkan al-Quran menjadi rujukan buat mereka. Sehingga ada di antara mereka yang menerima hidayah Allah s.w.t lantaran terpegun dengan kemukjizatan dan keunikan al-Quran. Dr Maurice Bukaille,  Cat Steven,  antara professional yang telah menerima hidayah melalui kemukjizatan al-Quran.

 

 

Kemukjizatan Al-Quran: cabaran buat Insan cemerlang umat terbilang

 

Yakinlah bahawa al-Quran adalah sumber sagalanya. Lautan ilmu duniawi dan ukhrawi ternukil di dalam al-Quran. Dengan kita memahami konsep kemukjizatan al-Quran maka sudah pasti kita akan terasa bahawa ia adalah suatu  cabaran yang dapat meningkatkan darjat kita menjadi insan cemerlang lagi berilmu dan berakhlak, umat terbilang lagi dihormati dan digeruni. Kenapa tidak? Jika kita bercakap tentang sains, begitu banyak teori-teori dan penemuan-penemuan baru yang telah dahulu dicetuskan oleh al-Quran sebelum ianya ditemui. Jika kita bercakap tentang geografi, ratusan ayat al-Quran yang membicarakan tentang ilmu alam. Begitulah juga jika kita bercakap tentang agama, akhlak dan kehidupan, al-Quranlah sumber utamanya.

 

Bayangkanlah dalam keadaan para pakar perubatan dan para saintis bersungguh-sungguh mencari penawar penyakit aids, yang hingga kini tidak ditemui. Kenapa umat Islam alpa kepada al-Quran yang telah mencetuskan pelbagai teori perubatan. Apakah kita umat Islam Malaysia khususnya tidak punya kepakaran yang boleh digabungkan. Apakah para pakar perubatan yang beriman dan  ahli al-Quran tidak boleh duduk semeja berbincang, membongkar khazanah ilmu al-Quran, umpamanya duduk semeja membincangkan ayat surah Sad:41-42 yang berbunyi:

 

وَاذْكُرْ عَبْدَنَا أَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الشَّيْطَانُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ (41) ارْكُضْ بِرِجْلِكَ هَذَا مُغْتَسَلٌ بَارِدٌ وَشَرَابٌ (42)

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)(41) (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah dia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin)(42).

 

Mudah-mudahan dengan keyakinan yang teguh terhadap al-Quran, penawar yang dicari dapat ditemui.

 

Jika hari ini kita membicarakan tentang senjata-senjata pemusnah yang canggih, apakah tiada mereka yang beriman yang professional di dalam bidang persenjataan yang boleh duduk semeja dengan ahli-ahli tafsir al-Quran untuk membincangkan ayat surah al-‘Anfal:60?

 

 

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya:Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.

 

 

Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran membentuk orang-orang yang beriman menjadi insan yang berfikir, menggunakan akal fikiran dalam membina kemajuan. Justeru, Allah s.w.t tidak mengisyaratkan secara langsung akan rahsia-rahsia saintifik, hanya akal yang bijaksana yang dapat menyimpulkan sesuatu dari ayat-ayat al-Quran. Hayati contoh berikut: Dalam ayat  88 surah al-Naml Allah s.w.t berfirman:

 

وَ تَرَى الجِبَالَ تَحْسَبُهَا جَامِدَةً وَ هِيَ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابُ

Maksudnya : “Dan engkau melihat bukit bukau dan kamu menganggapnya statik dan ia sebenarnya bergerak seperti bergeraknya awan”.

 

Dalam ayat di atas, al-Quran menyatakan bahawa gunung yang kamu lihat  statik itu sebenarnya bergerak sepertimana kamu melihat awan bergerak. Apakah rahsia disebalik kenyataan ini? Akal yang bijak dan beriman akan meyimpulkan dari sudut geografi bahawa bumi ini bergerak pada paksinya. Jika gunung yang merupakan pasak kepada bumi bergerak maka bumi itu sendiri juga sudah pasti bergerak dan berputar.

 

Terdapat ratusan ayat al-Quran yang menggesa orang-orang beriman agar memanfaatkan akal dan kebijaksaan. Justeru, kita sering bertemu di dalam al-Quran ungkapan-ungkapan seperti:

 

لَعَلَّكُم تَعْقِلُون

لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُون

إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَّعْقِلُون

 

Analisis yang dijalankan oleh penulis mendapati bahawa beberapagayabahasa al-Quran berikut dapat diselami akan kewujudan rahsia tertentu yang ingin disampaikan oleh al-Quran antaranya:

 

i. وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ(apa yang mereka tidak mengetahuinya)

Ungkapan seperti ini seharusnya diberi perhatian oleh para pengkaji kerana ada rahsia tertentu di dalamnya, perhatikan contoh-contoh berikut:

 

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.(Surah Yasin:36)

 

Bukankah jika kita luaskan teori ‘berpasangan’ ini di dalam bidang sains dan teknologi, pelbagai penemuan dapat dicetuskan? 

 

وَالْخَيْلَ وَالْبِغَالَ وَالْحَمِيرَ لِتَرْكَبُوهَا وَزِينَةً وَيَخْلُقُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Dan (Dia telah menciptakan) kuda, bagal, dan keledai, agar kamu menungganginya dan (menjadikannya) perhiasan. Dan Allah menciptakan apa yang kamu tidak mengetahuinya.(Surah al-Nahl:8)

 

Bukankah ayat ini pencetus kepada terciptanya pelbagai bentuk kenderaan yang boleh ditunggangi oleh manusia?

 

ii.Ayat-ayat yang berupa penjelasan Allah s.w.t akan kekuasaanNya seperti contoh-contoh berikut:

 

 

الَّذِي جَعَلَ لَكُمْ مِنَ الشَّجَرِ الْأَخْضَرِ نَارًا فَإِذَا أَنْتُمْ مِنْهُ تُوقِدُونَ

Maksudnya:Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu.(Surah Yasin:80)

 

Ayat ini seolah-olahnya menjelaskan tentang adanya bahanapi di dalam tumbuhan[9].

 

أَوَلَمْ يَرَ الَّذِينَ كَفَرُوا أَنَّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ كَانَتَا رَتْقًا فَفَتَقْنَاهُمَا وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya:Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?(Surah al-Anbiya’:30)

 

Ayat ini menjelaskan tentang teori ‘the big bang’ di dalam geografi[10].

 

Tidak dinafikan agenda besar ini memerlukan peruntukkan kewangan yang mecukupi untuk tujuan ujikaji dan eksperimen. Begitu juga tenaga pakar dari pelbagai bidang khususnya yang berkaitan dengan maudu` ayat yang dibincangkan baik dari kalangan professional mahupun ahli-ahli tafsir al-Quran. Dengan penuh keyakinan terhadap al-Quran kita optimis bahawa gagasan ini akan membawa natijah yang positif. Ternyata inilah sumbangan dan khidmat yang besar ertinya kepada Islam dan Umat Islam keseluruhannya. Di Malaysia ini, kita belum kedengaran tentang wujudnya sebuah pusat pengkajian kemukjizatan al-Quran yang menampilkan tenaga-tenaga pakar dalam pelbagai bidang. Sedang kita mampu melakukannya. Mudah-mudahan al-Quran tidak hanya dibaca tetapi dimanfaatkan segala khazanah ilmu yang ada di dalamnya.

 

Penutup

 

Mudah mudahan kertas kerja yang ringkas ini dapat menyumbang ke arah memartabatkan al-Quran al-Karim. Ternyata kajian kemukjizatan al-Quran amat penting di zaman sains dan teknologi kini, di zaman Islam ditohmah dengan pelbagai tohmahan yang dangkal. Dengan adanya insan-insan cemerlang yang akan membentuk umat terbilang yang bersedia untuk membongkar segala rahsia keunikan dan kemukjizatan al-Quran, akan kembalilah maruah umat ini yang benar-benar tercalar kini. 

 

 

 

Bibliografi

 

-Jalaluddin al-Suyutiy, al-Itqan Fi `Ulum al-Quran, Dar Ibn Kathir, Cet. Kedua 1993/1414

-Abdul Rahman al-Habnnakah, al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, Dar al-Qalam, Cet Keenam 1992/1412.

-Manna:` Qatan, Mabahis Fi `Ulum al-Quran, Muassasah al-Risalat, Cet Dua Puluh Empat, 1993/1414

-Fadl Hasan `Abbas, ‘I`jaz al-Quran, Dar al-Furqan, Cet Pertama, 1991.

-Mustafa Sadiq al-Rafiiy, ‘I`jaz al-Quran Wa Balaghah Nabawiyyah, Dar al-Kitab al-Arabiyyat 1990.

 -Mohd Fahmi Abdul Khir, Pengguguran kata dan ayat: satu analisis kemukjizatan al-Quran-Tesis Sarjana.

-Majallat al-Ayat, Amman, Jordan.

-www.elnaggarzr.com

 

 

Kertas kerja 2[11]

 

PUASA RAMADAN: SATU IBADAT YANG UNIK

 

Pendahuluan

الحمد لله رب العالمين

و الصلاة و السلام على أشرف الأنبياء و المرسلين و على آله و أصحابه أجمعين و بعد:

Segala puji-pujian dipanjatkan ke hadrat Allah s.w.t. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan s.a.w. juga ke atas kaum kerabat baginda  dan para sahabat r.a.

            Kita di ambang Ramadan 1426H, Marilah bersama-sama kita meningkatkan persediaan ketakwaan dan keimanan untuk menempuh bulan yang berkat ini. Marilah kita berazam untuk menjadikan Ramadan kali ini benar-benar beerti kepada keimanan dan ketakwaan kita. Ramadan adalah bulan ibadat. Al-Qardhawi[12] menyatakan Ramadan adalah ‘musim bunga’ kepada ahli ibadat. Pelbagai ganjaran pahala, kerahmatan dan keberkatan yang dijanjikan Allah s.w.t. di dalam bulan ini. Antara ibadat khusus yang disyariatkan di dalam bulan ini ialah ibadat puasa. Ibadat yang menjanjikan pahala yang melimpah ruah yang hanya Allah s.w.t berhak membalasnya.

            Ibadat di dalam Islam mempunyai nilai keunikannya yang tersendiri. Ternyata ia bukan rekaan akal manusia. Bahkan akal manusia tidak mampu untuk menjangkau keunikan ibadat-ibadat yang telah digariskan oleh al-Quran. Ibadat-ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, zabh(penyembelihan), zikir dan lain-lain, apakah akal manusia mampu mengada-adakannya? Islam menyusun suatu sistem ibadat yang unik dengan segala adabnya, kaifiatnya, nilai fitrahnya dan lain-lain yang terbukti berjaya membentuk jiwa seorang insan, menjadikan hubungan seorang insan dengan Tuhannya begitu bermakna. Bayangkan betapa sempurnanya hubungan seorang hamba dengan Tuhannya di dalam ibadat solat. Bayangkan betapa laungan azan itu berjaya melembutkan jiwa manusia untuk menerima hidayah Allah s.w.t.  Ibadat zakat menyusun lapisan masyarakat menjadi masyarakat yang bekerjasama. Ibadat haji menyamakan manusia sesama manusia sebagai hamba kepada Allah s.w.t. dan begitulah seterusnya ibadat-ibadat yang lain yang disyariatkan oleh Islam dengan nilai keunikannya yang tersendiri.

            Ibadat puasa antara ibadat yang disyariatkan oleh Islam. Puasa Ramadan termaktub sebagai sebahagian dari rukun Islam yang lima. Ternyata ia suatu ibadat yang unik dengan segala hikmat yang tersirat di dalamnya. Di dalam kertas kerja yang ringkas ini akan diketengahkan perbincangan berhubung keunikan Puasa Ramadan. Ternyata ia menjadi bukti kemukjizatan syariat yang digariskan oleh al-Quran yang sama sekali tidak boleh diada-adakan oleh sesiapa sekalipun.

 

1.Puasa Ramadan: Ibadat puasa yang ideal.

           

Ibadat puasa terdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali dari ibadat puasa. Allah s.w.t berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman difardukan ke atas kamu puasa sepertimana difardukan ke atas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan  orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah:183)

Salah al-Khalidiy[13] menyatakan puasa yang disyariatkan oleh Islam bersifat fitrah dan sederhana. Ia bertitik tolak dari dasar syariat Islam yang bersifat وسطي (wasatiy). Jika ditinjau ibadat puasa di dalam agama-agama yang lain, ternyata puasa di dalam Islam mempunyai keunikannya yang tersendiri. Di dalam Islam puasa beerti menahan diri dari makan, minum, bersetubuh dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Al-Qurtubiy[14] menyatakan Allah s.w.t  telah mensyariatkan puasa Ramadan kepada kaum Musa a.s dan kaum Isa a.s tetapi mereka telah merubah dan menambah jumlah harinya kepada 50 hari. Puasa Nasraniy ialah meninggalkan makanan bersumberkan binatang seperti daging, susu, lemak dan lain-lain, tetapi masih boleh memakan sayur-sayuran[15]. Puasa ini mirip kepada puasa di dalam agama Hindu. Terdapat agama yang hanya membenarkan memakan nasi ketika berpuasa. Ada juga agama yang membenarkan memakan sekali sahaja dalam sehari ketika berpuasa. Ada juga yang berpuasa pada waktu malam sahaja.

Memandangkan puasa mempunyai kepentingannya tersendiri kepada manusia maka Islam mewajibkan puasa Ramadan selama tiga puluh hari. Uniknya puasa Ramadan ia mengambil kira fitrah semulajadi kejadian manusia, tiada sebarang unsur تفريط (keterlaluan), tidak pula terlampau ringan, bahkan ia bersifat sederhana. Justeru setiap manusia normal yang menjalankan ibadat puasa Ramadan akan mengecap pelbagai manfaat yang tersendiri samada dari sudut kesihatan, perpaduan, disiplin diri dan lain-lain.

Sejenak kita akan terfikir bahawa syariat puasa Ramadan tidak mampu direka oleh akal manusia. Bahkan ia datang dari Allah s.w.t yang berupa sebahagian dari  الاعجاز التشريعي  (mukjizat perundangan di dalam al-Quran).

Namun perlu diingat, puasa Ramadan yang ideal hanya diperolehi dengan menuruti segala tata adab yang digariskan dari perkara wajib sehinggalah perkara yang sunat. Sikap sebahagian umat Islam yang mengabaikan perkara-perkara sunat semasa berpuasa amat dikesali.

 

2. Niat membezakan puasa Ramadan dan puasa yang lain.

Niat menjadi rukun pertama di dalam puasa Ramadan. Rasulullah s.a.w bersabda di dalam sebuah hadis sahih:

اِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالِّنيَّاتِ…

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan dengan niat…(Riwayat Bukhariy)

Barangkali ada yang tertanya-tanya apakah pentingnya niat di dalam ibadat puasa. Bukankah kita dapat membezakan antara berlapar dan berdahaga dalam bulan Ramadan dari berlapar di luar bulan Ramadan? Mengapakah kita mampu mengawal lapar dan dahaga ketika berpuasa dalam bulan Ramadan? Di sini niat memainkan peranan dalam membina keazaman dan ketabahan kita ketika menempuh puasa di dalam bulan Ramadan.

 

3.Puasa Ramadan menyatukan umat ini.

Kedatangan bulan Ramadan menyerlahkan perpaduan di kalangan umat Islam. Di pelusuk bumi mana pun ia berada ia akan menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan suatu ibadat yang sama dengan saudara seagamanya di bumi yang lain. Tidak kira apa jua bangsa dan keturunannya. Atas dasar inilah, Mustafa al-Zarqa[16], Yusuf al-Qardhawiy[17] dan lainnya di dalam fatwa mereka mengharuskan umat Islam berpandukan al-Hisab al-Falakiy dan menyelaraskannya di seluruh dunia Islam dalam menentukan awal Ramadan dan awal Syawal. Wahbah al-Zuhailiy[18] juga mentarjih pandangan Jumhur Fuqaha` yang menyatakan jika anak bulan di lihat di suatu tempat maka tempat-tempat yang lain wajib menerima ru`yah tersebut untuk memulakan Ramadan atau Syawal. 

            Solat Tarawih antara ibadat sunat yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Umat Islam sujud dan rukuk di dalam satu jamaah menuruti seorang imam dengan pergerakan yang sama. Ini jelas menggambarkan betapa umat Islam dituntut menjadi umat yang berpadu dan  tidak berpecah belah. Di barat, di Negara Belanda umpamanya, solat  Tarawih benar-benar  mempertautkan hubungan silaturrahim di antara umat Islam di sana[19].

            Puasa Ramadan mengingatkan kita akan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di temapat yang lain. Dugaan yang ditempoh sepanjang Ramadan menimbulkan simpati, kasihan belas, kasih sayang, semangat persaudaraan terhadap umat Islam lain. Dengan kedatangan Ramadan, tidakkah terlintas di dalam hati kita akan mihnah  perjuangan rakyat Palestin? Pergolakkan yang berlaku di Irak? Dan kesusahan umat Islam di bumi yang lain.  

 

4.Puasa Ramadan menyihatkan tubuh  badan.

            Para pakar perubatan sepakat mengatakan puasa memberi kesan yang positif kepada tubuh badan manusia. Bahkan boleh membantu menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Dalam satu esperimen yang dijalankan ke atas tikus, didapati tikus yang dipuasakan mempunyai jangka hayat lebih panjang selama enam puluh tiga minggu berbanding tikus yang diberi makan secara bebas.

            Ramai juga orang di zaman moden ini yang berpuasa atas sebab-sebab kesihatan, sama ada untuk menjalani pemeriksaan/pembedahan atau untuk menyihatkan badan. Terdapat situasi di mana pesakit dikehendaki berpuasa selama beberapa jam sebelum menjalani pembedahan atau prosedur-prosedur yang memerlukan penggunaan ubat bius. Ini kerana makanan di dalam perut boleh mengurangkan keberkesanan ubat bius itu. Di dalam beberapa pemeriksaan kesihatan,  kita dikehendaki berpuasa supaya garis dasar (baseline) dapat dikenal pasti.

            Mereka yang mempunyai lemak berlebihan juga boleh mengambil manfaat dari puasa. Ini kerana apabila badan manusia sentiasa menggunakan tenaga tetapi tiada makanan yang diambil, badan manusia akan mencari sumber tenaga yang lain, seperti glukosa daripada simpanan glikogen di dalam limpa, asid lemak daripada lapisan lemak yang disimpan, dan akhirnya daripada tisu-tisu protien yang penting. Hasilnya, kesihatan manusia akan bertambah baik. Berat badan dan risiko-risiko penyakit yang berkaitan dengan kegemukan dapat dikurangkan.

            Selain itu, terdapat beberapa lagi kebaikan berpuasa untuk kesihatan, seperti memberi kerehatan kepada perut untuk menigkatkan kecekapan, Menghancurkan sisa-sisa racun atau toksid di dalam darah manusia, mengurangkan dan menghapuskan ketagihan arak dan rokok. Puasa  juga boleh membantu dalam rawatan panyakit-penyakit tertentu seperti arteri koronari, bronkitis, hipertensi, sembelit, diabetes atau kencing manis, ketakcernaan, cirit-birit dan lain-lain[20]. Puasa membantu pembentukan antibodi, memberi kesan positif terhadap rawatan yang berkaitan dengan penyakit mata[21].

Ternyata  puasa Ramadan menyumbang ke arah kesan yang positif kepada tubuh badan manusia. Di dalam satu kajian yang dijalankan[22], ternyata puasa menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan seseorang berdasarkan kepada beberapa aspek berikut:

  1. Kecergasan anggota badan meningkat sebanyak 7% hingga 20%.

  2. Kestabilan denyutan jantung meningkat sebanyak 6%

  3. Kestabilan tekanan darah meningkat sebanyak 12%

  4. Kestabilan pernafasan meningkat sebanyak 9%  

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan tentang kebaikan puasa terhadap kesihatan manusia dalam sebuah hadis Hasan dengan sabdaNya:

صوموا تصحوا

Maksudnya:  Berpuasalah nescaya kamu akan sihat.(Riwayat Abu Nu’aim)

5.Puasa Ramadan pengekang hawa nafsu.

            Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah bersabda:

‏يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ ‏ ‏الْبَاءَةَ ‏ ‏فَلْيَتَزَوَّجْ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فانه فَإِنَّهُ لَهُ ‏ ‏وِجَاءٌ

Maksudnya: Wahai sekelian pemuda jika kamu ada kemampuan untuk berkahwin maka berkahwinlah, tetapi jika kamu tidak mampu maka berpuasalah, sesungguhnya di dalamnya terdapat wija` (pengekang hawa nafsu).(Riwayat Bukhariy)

            Puasa Ramadan atau puasa sunat yang lain boleh mengawal hawa nafsu manusia. Puasa yang dilakukan dengan menuruti segala adab-adabnya akan mengekang kehendak  hawa nafsu yang melampau.

Dari sudut perubatan, puasa memberi kesan terhadap penghasilan hormon-hormon tertentu. Kesan tersebut menjadikan hawa nafsu seseorang terkawal dan tidak bersifat melampau[23]. Penurunan kandungan gula di dalam badan mengawal sifat agresif pada diri manusia dan seterusnya menjadikan diri seseorang itu lebih tenang dan khusyu’[24].

Puasa Ramadan mendisiplinkan kita, membina keazaman dan ketabahan, membersihkan jiwa dan pemikiran kita. Kesemua ini menyumbang ke arah mengekang hawa nafsu manusia yang melampau.

6.Puasa Ramadan tidak memudaratkan

           

Puasa Ramadan, matlamatnya bukanlah untuk memudarat dan menyusahkan manusia. Ini jelas dinyatakan oleh Allah s.w.t:

…يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ…

Maksudnya: …Allah s.w.t menghendaki kamu semua(dari ibadat puasa ini) suatu kemudahan, dan Ia tidak menghendaki bagi kamu semua suatu kepayahan…(Surah al-Baqarah: 185 )

            Tambahan dari itu, Allah s.w.t menjelaskan bahawa mereka yang sakit dan bermusafir harus tidak berpuasa sepertimana firmanNya:

…فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ…

Maksudnya: Dan jika kamu sakit atau bermusafir maka (kamu boleh berbuka) dan hendaklah mengqada` di hari –hari yang lain…(Surah al-Baqarah: 184)

            Dari sudut perubatan[25], tempoh puasa Ramadan iaitu selama 14 hingga16 jam sehari ternyata tidak memudaratkan kesihatan manusia yang normal. Tempoh penyerapan makanan yang dimakan mengambil masa lebih kurang 5 jam. Dan tempoh selepas penyerapan mengambil masa antara 12 hingga 14 jam. Ternyata tempoh puasa Ramadan tidak melebihi tempoh tersebut. Justeru, Islam mengalakkan mereka yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa. Ini bagi memastikan tubuh badan kita menerima sumber makanan untuk diserap selepas tempoh yang dinyatakan di atas. Dalam masa yang sama, tempoh tersebut mencukupi untuk melemahkan hawa nafsu manusia yang melampau, mencukupi untuk kita selami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain. Inilah uniknya puasa Ramadan, ia bersifat fitrah dan sederhana, tidak keterlaluan dan memudaratkan, dalam masa yang sama ia tidak terlampu ringan sehingga terabainya kesan-kesan positif yang lain. Tohmahan bahawa puasa Ramadan melemahkan umat Islam ternyata bercanggah dengan falsafah puasa Ramadan itu sendiri.

 

7.Puasa Ramadan menggamit keinsafan.

            Puasa Ramadan mengajar kita erti syukur akan nikmat yang dilimpahkan, membersihkan jiwa kita dari sifat takabbur, hasad dan lain-lain. Rezki dan nikmat yang melimpau ruah kadang-kadang melalaikan dan melupakan manusia akan kesusahan yang dihadapi oleh orang lain. Puasa Ramadan selama sebulan, dan tempoh puasa selama 14 hingga 16 jam di samping adab-adab yang lain seperti tidak membazir dan tidak makan berlebihan benar-benar berjaya menginsafkan kita betapa di sana kedapatan mereka yang susah, yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang.  Nabi Yusuf a.s bermadah:  ‘Jika aku sentiasa kenyang, aku bimbang aku akan lupa kepada laparnya orang fakir’. Justeru Nabi Yusuf a.s diriwayatkan tidak pernah makan sehingga kenyang[26].            Puasa Ramadan mengingatkan kita akan kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh saudara seagama kita di temapat yang lain. Dugaan yang ditempoh sepanjang Ramadan menimbulkan perasaan keinsafan, simpati, kasihan belas

 

            Kedatangan Ramadan juga akan menjadikan hati  mereka yang tersimpang dari ajaran Islam terdetak untuk  menginsafi kemaksiatan yang dilakukan dan kembali ke pangkal jalan. 

 

8.Puasa Ramadan penyeri Aidilfitri

Puasa Ramadan menguji kesabaran dan ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya. Kejayaan mengharungi ujian dengan kesabaran dan ketaatan menyerikan sambutan Aidilfitri. Aidilfitri disambut dengan penuh kesyukuran, kegembiraan dan keinsafan bagi mereka yang berjaya menyempurnakan puasa Ramadan. Sebaliknya Aidilfitri hilang ertinya tanpa puasa Ramadan yang khusus atau khusus al-khusus sepertimana yang dijelaskan oleh Imam Ghazali r.h[27].

           

9.Puasa Ramadan pengukuh hubungan dengan Allah s.w.t

Puasa Ramadan mejanjikan pahala yang berlipat ganda. Di samping ia menjadi bulan keinsafan, ia juga mengukuhkan hubungan seorang hamba yang taat dengan Tuhannya. Lantaran ganjaran yang sangat besar dijanjikan, maka ia pasti akan manggamit mereka yang saleh untuk terus beribadat dan mengukuhkan hubungan dengan Allah s.w.t. Puasa menjadi rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya. Puasa benar-benar menguji keikhlasan seseorang terhadap Tuhannya. Justeru, puasa yang sempurna akan mendekatkan diri seseorang kepada  Allah s.w.t. Itulah antara matlamat  Ibadat di dalam Islam.

Penutup

            Mudah-mudahan kertas kerja yang ringkas ini dapat memberi gambaran kepada kita betapa syariat Allah s.w.t adalah syariat yang unik yang sama sekali tidak mampu untuk diada-adakan oleh akal manusia. Puasa Ramadan menjadi contoh yang jelas kepada kita, bagaimana ia menjadi satu ibadat yang komprehensif yang dapat menggarap segala kebaikan yang ada padanya tanpa meninggalkan sebarang keburukan dan kesan yang negatif.

 

Senarai rujukan:

  1. Fatwa Mustafa al-Zarqa- Susunan Majd Ahmad Makkiy

  2. Fatawa Mu’asirah –Yusuf al-Qardhawi

  3. al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuhu – Wahbah al-Zuhailiy

  4. Fiqh al-Siyam- Yusuf al-Qardhawi

  5. Ma’a al-Tib Fi al-Quran al-Karim- Mahmud Nusaimiy

  6. al-Bayan Fi I’jaz al-Quran – Salah al-Khalidiy

  7. Web. al-Qardhawiy

  8. Web. Islam online

  9. Ihya` ‘ulum al-Din- Imam al-Gahzaliy

  10. Majalah al-Ayat

  11. al-Jami’ Li Ahkam al-Quran – Imam al-Qurtubiy

 

 

Kertas Kerja 3[28]

KEMUKJIZATAN AL-QURAN: TINJAUAN DARI SUDUT BAHASA

Pendahuluan

 

Sesungguhnya kajian berhubung kemukjizatan al-Quran merupakan kajian yang apabila diketengahkan akan menjadi salah satu methode dakwah yang sangat efektif dalam dunia yang penuh dengan pelbagai kajian ilmiyyah. Salah satu bentuk kemukjizatan al-Quran adalah kemukjizatan bahasa al-Quran . Kemukjizatan bahasa al-Quran dapat dizahirkan hanya kerana satu sebab yang utama iaitu al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Ini sama sekali berbeza dengan kitab-kitab samawi yang lain. Apa mungkin anda dapat mengecapi keindahan dan keunikan bahasa di dalam bible umpamanya. Ternyata tidak kerana bible dicatat dan ditulis di dalam pelbagai bahasa dan di dalam pelbagai versi. Ahmad Deedat menyatakan bible terdapat padanya 66 versi yang berbeda. Kenyataan ini diakui oleh para paderi dan pendita nasrani. Bahasa yang berbeda sudah pasti mempunyai nilai kesusasteraan yang berbeda. Adapun al-Quran ianya adalah ketetapan Allah s.w.t yang tidak mungkin diubah walau satu baris dan huruf oleh manusia mana sekalipun yang jika diubah hilangnya nilai kemukjizatan bahasanya. Adapun untuk memudahkan ia difahami oleh masyarakat bukan Arab, diharuskan berlaku proses penterjemahan. Tidak lebih dari itu.

  Kemukjizatan bahasa merupakan antara kemukjizatan al-Quran yang pertama yang dikenalpasti.  Ini kerana al-Quran diturunkan ke atas masyarakat Arab yang amat menitikberatkan persoalan bahasa dan kesusasteraannya.  Justeru itu, aspek ini menjadi bidang yang utama bagi membincangkan kemukjizatan al Quran. Apabila disusuri dari beberapa cabang ilmu bahasa Arab, ternyata keindahan dan keunikan bahasa al-Quran al-Karim dapat diselami dan dihayati. Ini sudah pasti akan membuktikan bahawa al-Quran itu buka rekaan manusia, bukan rekaan Nabi Muhammad s.a.w bahkan ia datang dari Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t:

 

Maksudnya: Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.(Surah Fussilat:42)

 

Pertama: Dari segi ilmu Bayan

 

Ini melibatkan gambaran al-Quran yang berbentuk perumpamaan, metafora, peribahasa dan simpulan bahasa, di mana unsur tersebut mempunyai nilai-nilai yang cukup tinggi di dalam bahasa Arab. Contohnya perumpamaan di dalam al-Quran yang mempunyai ciri-ciri realiti suasana, tujuan yang jelas, pemilihan perkataan yang tepat dan mendalam dan bukan suatu  khayalan semata (Mohd Ali Abu Hamdah :1990: 56), umpamanya dalam ayat berikut :

 

Maksudnya : “Dan orang orang kafir itu amalan mereka seperti fatamorgana di padang pasir yang mana orang dahaga akan menganggapnya air tetapi apabila mereka ke situ tiada apa yang mereka dapati…” (al-Nur : 39).

 

            Dalam ayat ini, al-Quran mengumpamakan amalan-amalan yang dilakukan oleh orang-orang kafir seperti fatamorgana,  iaitu suatu fenomena yang berlaku dipadang pasir atau jalanraya ketika panas terik.  Orang yang menempuh jalan tersebut seolah-olah melihat seperti ada air di hujung pandangannya, tetapi apabila tiba di situ air tersebut sebenarnya tidak ada. Begitulah amalan-amalan orang-orang kafir yang dilihat seolah-olah ada pahala dan ganjaran yang akan diperolehi tetapi sebenarnya tidak.

 

Perumpamaan ini melibatkan sesuatu yang realiti, iaitu fatamorgana  yang sering kedapatan dipadangpasir adalah perumpamaan yang mempunyai tujuan yang jelas dan perkataan yang dipilih seperti سراب  sangat tepat dan mendalam di samping ia bukan satu khayalan yang lagha dan sia- sia.

 

Kedua: Dari konteks ilmu Badi’

            Ilmu Badi’  adalah salah satu cabang dari retorik Arab. Ia merujuk kepada satu ilmu yang membincangkan tentang keindahan ayat, atau perkataan dari segi fizikal seperti saja’ (سجع  ), Jinas(جناس  ) dan lain-lain.

            Keunikan al-Quran dalam konteks ini ialah keindahan fizikal ayat itu mempunyai hubungkait dengan makna yang terkandung di dalamnya (Fadl Abbas: 1991: 222). Dengan erti kata lain, keindahannya bukan semata-mata dari segi fizikal bahkan ia mempunyai makna yang tersirat yang ingin disampaikan.

            Contoh yang jelas bagi konteks ini ialah akhiran al-Quran ( الفاصلة القرأنية  ). Al-Fasilah al-Quraniyyah  merujuk kepada ungkapan di akhir setiap ayat al- Quran. Dalam syair Arab ia diistilahkan sebagai al-Qafiah dan antara keduanya terdapat perbezaan, khususnya dari segi makna.

Al-fasilah di dalam al Quran adalah antara unsur i’jaz yang jelas dan penting di mana ia tidak bertujuan semata-mata untuk kecantikan dari segi fizikal bahkan juga melibatkan makna.  Contohnya dalam ayat-ayat berikut:

…أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَ لَكِنَّ لاَ يَشْعُرُونَ

Maksudnya : “Ketahuilah mereka itulah golongan perosak tetapi mereka tidak menyedarinya (Surah al-baqarah : 12).

…أَلاَ إِنَّهُمْ هُمُ السُّفَهَاءُ وَ لَكِن لاَّ يَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Ketahuiah mereka itulah golongan yang bodoh tetapi mereka tidak mengetahuinya” (Surah al-Baqarah : 13).

 

Ayat pertama diakhiri dengan  يشعرون  dan ayat kedua diakhiri dengan  يعلمون  . Ini bukanlah bertujuan untuk kecantikan pengakhiran ayat dengan huruf yang sama semata-mata.  Sesungguhnya terdapat makna yang mendalam yang ingin disampaikan di mana,  ayat pertama menceritakan tentang orang-orang yang melampaui batas, manakala ayat kedua menceritakan tentang orang-orang  yang jahil.

 

Ketiga: Perkataan-perkataan al-Quran

 

Perkataan-perkataan al-Quran adalah tepat dan terpilih, namun bagi menyatakan ketinggiannya hanya ذوق   atau perasaan berbahasa yang tinggi sahaja dapat membuktikannya (Fadl A’bbas:1996:163). Diriwayatkan seorang Arab badwi yang mempunyai kefasihan bahasa yang semulajadi telah mendengar seorang lelaki membaca perkataan  كفر   dalam ayat berikut:

 

Maksudnya: “Yang belayar dengan pemeliharaan Kami sebagai balasan bagi orang-orang yang diingkari” (Surah al-Qamar: 14).

 

Lelaki itu membaca dengan  كَفَرَ  yakni huruf kaf dibaca dengan baris atas. Arab Badwi itu  yang mendengar bacaan tersebut lantas berkata “ bacaan itu tidak tepat”. Apabila dibaca huruf kaf dengan baris hadapan barulah Arab Badwi itu berkata “ ini bacaan yang tepat” (Al:Jahiz: t.t: jld: 2: 327).

Antara unsur I’jaz yang dapat diketengahkan secara tulisan ialah wujudnya di dalam al-Quran perkataan-perkataan sinonim tetapi mempunyai makna dan pendekatan yang berlainan dibuktikan oleh al-Quran sendiri melalui penggunaan perkataan tersebut secara menyeluruh.  Antara contohnya perkataan  فعل  dan  عمل  ( Fadl A’bbas:1991:174) di mana perkataan ini terdapat lebih dari seratus kali di dalam al-Quran dan apabila dijalankan analisis terhadap kesemua ayat-ayat didapati penggunaan فعل  menunjukkan  perbuatan yang tidak berkekalan berbeza dengan  عمل  di mana digunakan untuk perbuatan yang berterusan, seperti contoh dalam  dua ayat berikut :

 

أَلَمْ تَرَى كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصْحَابِ الفِيلِ

Maksudnya : tidakah kamu melihat bagaimana Tuhanmu lakukan terhadap tentera bergajah (al-Fil : 1).

 

إِلاَّ الذِينَ آمَنُوا وَ عَمِلُوا الصَّلِحَاتِ…

Maksudnya : Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh…      (al-Tin :5)

 

Tindakan Tuhan terhadap tentera bergajah adalah sekali sahaja manakala amalan soleh itu memerlukan perlakuan berterusan.

 

Begitulah perkataan perkataan lain seperti  أرسل  dan  بعث  yang bermaksud utus. الخوف  dan  الخشية  yang bermaksud takut.(Dirasat jadidah fi I’jaz al-Quran) Aspek inilah yang menjadikan al-Quran dan setiap unsur di dalamnya tidak sia sia bahkan ada rahsia dan keunikannya.

 

Antara unsur lain ialah penggunaan perkataan yang hampir sama maknanya di tempat yang yang juga hampir sama keadaannya contohnya perkataan  قذف  dan ألقى  ( Fadl A’bbas:1991:184) di dalam ayat berikut :

سألقي في قلوب الذين كفروا الرعب

Maksudnya : Dan (Aku) akan melontarkan  ke dalam jiwa mereka perasaan takut…(surah al-Anfal : 12).

و قذف في قلوبهم الرعب … 

Maksudnya : Dan Dia melontarkan ke dalam jiwa mereka perasaan ketakutan…(Surah al-Hasyr : 2)

 

Kedua perkataan tersebut yang bermaksud lontar digunakan oleh        al-Quran dalam suasana peperangan, iaitu dilontarkan perasaan takut ke dalam jiwa orang-orang kafir di dalam peperangan.  Apakah tujuan penggunaan perkataan yang sama dalam suasana yang sama?.  Apabila dikaji didapati bahawa dua perkataan tersebut dari perspektif bahasa arab mempunyai semantik yang agak berbeza di mana “  ألقى  adalah lontaran yang biasa manakala  قذف  adalah lontaran yang lebih kuat” (Fadl A’bbas:1991: 184-185).  Ayat pertama merujuk kepada peperangan badar di mana peperangan itu  tidak melibatkan sebarang kubu yang  memerlukan lontaran yang kuat, sebaliknya ayat yang kedua  merujuk kepada peperangan dengan bani al-Nadhir yang mempunyai kubu, yang lebih sesuai digunakan perkataan  قذف.

Penggunaan partikel atau harf(حرف ) yang berlainan untuk kata kerja yang sama adalah antara unsur I’jaz yang terdapat di dalam perkataan-perkataan  al-Quran.  Contohnya kata kerja  أنزل  di dalam ayat berikut:

قل امنا بالله و ما أنزل الينا

Maksudnya : “Katakanlah kami beriman dengan Allah dan apa yang diturunkan kepada kami”…(Surah al-Baqarah : 136)

 

قل امنا باالله و ما أنزل علينا… 

Maksudnya :” Katakanlah kami beriman dengan Allah dan apa yang diturunkan ke atas kami”…(Surah Ali-Imran : 84)

 

Kata kerja  أنزل  yang bermaksud “diturunkan” dalam ayat pertama digabungkan dengan partikel الى  manakala ayat kedua digabungkan dengan partikelعلى .  “Rahsia yang terdapat di dalamnya ialah gabungan dengan الى  ditujukan kepada umat Islam manakala dengan  على  ditujukan kepada Rasulullah s.a.w” (Fadl A’bbas: 1991: 190).

 

Unsur susunan perkataan al-Quran juga menampakkan nilai-nilai I’jaz , ayat-ayat berikut menjelaskan hal tersebut :

السارق و السارقة فاقطعوا أيديهما

Maksudnya : “Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah dipotong tangan mereka…”(Surah al-Maidah:38)

 

الزانية و الزاني فاجلدوا كل واحد منهما مئة جلدة

Maksudnya : “Penzina perempuan dan penzina lelaki hendaklah disebat seratus kali…”(Surah al-Nur:1)

 

 

Dalam ayat pertama al-Quran mendahulukan  السارق  (pencuri lelaki) dan ayat kedua al-Quran mendahulukan  الزانية  (penzina perempuan). Ini kerana kecurian lebih banyak melibatkan kaum lelaki manakala zina puncanya lebih tertumpu kepada kaum perempuan.

 

Keempat : Dari konteks ilmu al-ma’ani

 

Sesungguhnya konteks inilah yang benar-benar menzahirkan kemukjizatan bahasa al- Quran.  Antara unsur-unsur tersebut ialah :

 

a. Pendepanan dan pengakhiran (التقديم و التأخير  )

Unsur ini adalah kesinambungan dari teori al-nazm yang dicetuskan oleh Abdul Qahir al-Jurjaniy di mana teori ini adalah perluasan makna terhadap konteks ilmu nahu bahasa Arab.  Ayat berikut dapat menjelaskan kemukjizatan bahasa al-Quran dalam unsur ini:

و اذ قال ابراهيم ربي الذي يحيي و يميت

Maksudnya : “Dan tatkala Ibrahim berkata Tuhanku yang menghidupkan dan mematikan…” (Surah al-Baqarah: 258).

 

Di dalam nahu Arab, musnad ilaih (subjek) boleh didepankan atau diakhirkan, namun apakah terdapat rahsia atau tujuan di sebalik keharusan tersebut?.  Apabila dikaji dan dianalisis didapati bahawa pendepanan musnad ilaih membawa makna yang lebih khusus.  Oleh itu penggunaan ‘Tuhanku menghidupkan …’ dalam ayat pertama mambawa makna penguat bahawa Tuhanku sahaja yang menghidupkan dan mematikan, kalau sebaliknya mungkin ada tuhan lain yang sebegitu.

 Antara contoh lain berhubung konteks ini adalah seperti ayat berikut :

 

قل لئن اجتمعت الانس و الجن على أن يأتوا بمثل هذا القران لا يأتون بمثله

Maksudnya: “Katakanlah sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa al-Quran ini,  nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengan dia…” (Surah al-isra’: 88).

 

يا معشر الجن و الانس ان استطعتم أن تنفذوا من أقطار السموات و الأرض فافذوا

Maksudnya: “Hai jamaah jin dan manusia jika kamu sanggup menembus (melepasi) penjuru langit dan bumi maka lintasilah…” (Surah al-Rahman: 33).

   

و ما خلقت الجن و الانس الا ليعبدون

Maksudnya: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah aku” (Surah al-Zariyat: 56).

 

Ayat pertama didahulukan lafaz “insan” kerana pencabaran tersebut lebih tertumpu kepada manusia (tentang kemampuan mencipta ayat yang sama dengan al-Quran ). Ayat kedua didahulukan lafaz “Jin” kerana pencabaran untuk menembusi langit dan bumi lebih tertumpu kepada jin, manakala ayat ketiga didahulukan lafaz “jin” kerana jin dicipta lebih dahulu dari manusia  (Fadl A’bbas: 1991: 219).

 

b. Penguat ( التوكيد  )

Penggunaan partikel penguat di dalam al-Quran amat menepati  kaedah ilmu al-ma’ani seperti contoh berikut:

إن الدين عند الله الإسلام

Maksudnya : “Sesungguhnya agama di sisi Tuhan adalah islam…” (Surah Ali `Imran:18)

 

Ayat ini menggunakan  satu partikal penguat,  iaitu إِنَّ  kerana pendengar berada dalam situasi ragu-ragu terhadap apa yang disampaikan. Contoh lain seperti :

لتبلونَّ في أموالكم و أنفسكم

Maksudnya : “Kamu akan diuji pada harta dan diri kamu sendiri…”(Surah Ali `Imran:186)

 

Ayat ini menggunakan dua partikal penguat, iaitu  لام ابتداء  dan  نون التوكيد  pada لتبلونَّ  kerana pendengar berada dalam keadaan mengingkari kenyataan yang disampaikan.  Contoh yang lain ialah:

ثم إِنَّكم بعد ذلك لميتون

Bermaksud:  “Kemudian kamu selepas itu akan mati…”(Surah Mukminun:15)

 

Ayat ini menggunakan dua partikel penguat, iaitu إن  dan لا البتداء   sedangkan hal kematian adalah perkara yang sama sekali tidak diragui dan dingkari oleh manusia. Sepatutnya dua partikel penguat digunakan tatkala kenyataan itu dingkari. Mengapakah dalam ayat di atas al-Quran tetap menggunakan dua partikel penguat walaupun kenyataan tentang kematian tidak ada manusia yang mengingkarinya? Ini bertepatan dengan kaedah ilmu ma’ani, iaitu  خروج الكلام عن مقثضى الظاهر yakni “keadaan yang terkeluar dari kaedah asal” dengan syarat ada sebab yang munasabah.  Dalam ayat di atas sebab penggunaan dua partikel penguat bertujuan memberi ingatan atas kelalaian manusia dari mengingati mati.

 

c.  Pengguguran kata dan ayat (الحذف   )

Unsur  pengguguran adalah sangat penting di dalam ilmu al-ma’ani.  Di dalam al-Quran kadang kala kita bertemu dengan beberapa ayat yang hampir sama tetapi terdapat pengguguran di dalam salah satunya seperti contoh berikut :

قال ألم أقل انك لن تستطيع معي صبرا

Maksudnya: “…(Nabi Khaidir) berkata bukankah aku telah berkata bahawa sesungguhnya kamu (Nabi Musa) tidak akan mampu untuk bersama denganku (Surah al-Kahfi: 72).  

قال ألم أقل لك انك لن تستطيع معي صبرا

Maksudnya: …(Nabi Khaidir) berkata bukankah aku telah katakana kepadamu bahawa engkau tidak sama sekali akan dapat bersabar denganku” (Surah al-Kahfi: 75).  

 

Kedua-dua ayat di atas hampir sama susunannya,   tetapi ayat pertama digugurkan perkataan لك  . Apakah rahsia pengguguran perkataan لك dalam ayat 75 surah al-Kahfi dan sebutannya dalam ayat 72 surah al-Kahfi ? Unsur inilah yang akan menjadi fokus penulis di dalam dasertasi ini di mana penulis akan menganalisis kesemua ayat-ayat al-Quran yang mempunyai unsur tersebut.

 

4: Susunan ayat al-Quran

 

Ayat al Quran mempunyai huruf dan perkataan yang menarik yang sama sekali tidak dapat diungkap oleh manusia.Susunan tersebut membentuk keringanan dan rentak yang indah tatkala di baca .Ini dapat dibuktikan dari dua sudut samada rentak atau makna apabila kita membuang salah satu huruf atau perkataan al Quran di mana ia akan menjadi sumbang dan makna yang sebenar tidak kesampaian.  Al-Rafi’i (1990: 228) menyatakan “tidak adalah satu huruf atau baris yang diletakkan oleh al-Quran melainkan ia diletakkan ditempat yang amat sesuai dan unik”

            Berdasarkan kepada pengamatan penulis contoh berikut dapat menjelaskan konteks di atas.  Allah s.w.t berfirman:

رب المشرفين و رب المغربين  فبأي ء الاء ربكما تكذبان

Maksudnya: Tuhan yang memelihara kedua tempat terbit matahari dan Tuhan yang memelihara kedua tempat terbanamnya.  Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan (Surah al-Rahman: 17-18).

 

            Dalam ayat di atas, jika huruf fa’ (ف ) pada perkataan فبأي  dibuang maka mereka yang membaca ayat di atas pasti akan dapat merasakan suatu bentuk rentak yang sumbang. Ini berbeza apabila huruf fa’ tidak dibuang. Bacaan akan menjadi indah dan menarik.   

 

5: Gaya bahasa al-Quran ( الاسلوب  )

Gaya bahasa al-Quran amat berbeza dengan gaya bahasa yang lain. Ini dapat diukur dari empat konteks utama (Fadl A’bbas:1991:105-109):

 

i. Gaya bahasa  yang sesuai ditujukan kepada sesiapa sahaja (dari segi asasnya  bukan pendetailannya) seperti orang pandai, kurang pandai, jahil,  orang awam, ahli bahasa, ahli sains dan lain lain.

 

ii. Gaya bahasa yang ditujukan  kepada akal dan perasaan.

 

iii.  Gaya bahasa yang boleh difahami dengan makna ringkas atau detail. 

 

iv. Gaya bahasa yang mempunyai penggunaan perkataan yang ringkas dengan makna yang lengkap.

 

            Al-Rafi’i (1990: 216) menjelaskan “keunikan gaya bahasa al-Quran serta susunan huruf-hurufnya terbukti apabila ia perdengarkan kepada sesiapa pun samada orang-orang Arab atau bukab Arab bahkan kepada mereka yang tidak beriman sekalipun pasti hatinya terdetak kerana keindahan gaya bahasa tersebut.

 

6. Pemisahan dan penyambungan ayat (الفصل و الوصل  ).

            Al-Wasl merujuk kepada penggunaan huruf  waw  ( و  ) di dalam ayat.  Huruf waw tersebut bermaksud “dan” yang berfungsi sebagai partikel A’taf( عطف).  Manakala al-Fasl ialah ayat-ayat yang digugurkan huruf waw tersebut.

 

            Keunikan al-Quran dalam konteks ini dapat dilihat dari dua segi. Pertama, ketepatan penggunaannya berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang terdapat di dalam ilmu ma’ani. Kedua, cara penggunaannya yang tersendiri yang diketengahkan oleh al-Quran. Contohnya seperti berikut:

 

هو الله الذي لا اله الا هو الملك الفدوس السلام المؤمن المهيمن العزيز الجبار المتكبر…

Maksudnya: “ Dialah Allah yang tiada Tuhan selain Dia, Raja, yang maha suci, yang maha sejahtera, yang mengurniakan keamanan, yang maha memelihara, yang maha perkasa, yang maha kuasa, yang memiliki segala keagungan…(Surah al-Hasyr: 22).

 

هو الله الأول و الآخر و الظاهر و الباطن….

Maksudnya: “Dialah yang awal dan yang akhir dan yang zahir dan yang batin..” (Surah al-Hadid: 3)

 

            Kedua-dua ayat di atas menerangkan tentang nama-nama Allah s.w.t.  Dalam ayat pertama tidak digunakan huruf waw di antara nama-nama yang dinyatakan. Manakala dalam ayat kedua digunakan huruf waw. Apabila diamati, ayat kedua digunakan huruf waw kerana nama-nama Allah s.w.t di dalam ayat tersebut berlawanan maknanya seperti Yang awal dan Yang akhir, Yang batin dan Yang zahir. Manakala dalam ayat pertama nama-nama Allah di dalamnya tidak berlawanan.

 

Contoh yang lain seperti berikut:

 

التائبون الحامدون السائحون الراكعون الساجدون الآمرون بالمعروف و الناهون عن المنكر

Maksudnya: “Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang melawat, yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah membuat mungkar…” (Surah al-Taubah: 112).

 

            Ayat di atas menerangkan tentang sifat-sifat orang-orang yang beriman seperti bertaubat, sujud kepada Allah dan lain-lain.  Apabila diamati kandungan ayat di atas, sifat-sifat yang mempunyai makna berlawanan  dinyatakan huruf waw seperti “yang menyuruh berbuat ma’ruf dan yang mencegah membuat mungkar”.  Manakala sifat-sifat lain yang tidak mempunyai makna berlawanan tidak dinyatakan huruf waw.

 

7. Pengkhususan ( القصر  )

            Al-Qasr  ( القصر  ) bermaksud mengkhususkan sesuatu daripada sesuatu dengan menggunakan partikel-partikel tertentu seperti إنما, لا..الا  dan lain-lain.  Contoh al-Qasr seperti berikut:

انما المؤمنون إخوة

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara” (Surah al-Hujurat: 10).

            Kewujudan partikel  انما  menjadikan maksud sebenar ayat di atas seperti berikut: Sesungguhnya orang-orang beriman itu dikhususkan bagi mereka sifat bersaudara sesama mereka.

 

            Keunikan al-Quran dalam konteks ini ialah kesesuaian ayat yang dimasukkan partikel al-Qasr.  Kesesuaian tersebut melahirkan makna yang tepat dan  mendalam seperti contoh berikut:

انما يعمر مساجد الله من آمن بالله و اليوم الآخر

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang memakmurkan masjid itu ialah mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat” (Surah al-Taubah: 18)

 

            Ayat di atas didahulukan objek (مساجد الله ) daripada pelaku (من آمن بالله و اليوم الاخر ). Seterusnya dimasukkan partikel al-Qasr, iaitu  انما. Ini menghasilkan makna yang tepat dan mendalam.  Makna yang mendalam yang difahami dari ayat di atas ialah tugas memakmurkan masjid adalah dikhususkan kepada mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat, bukan kepada yang selain dari mereka.

           

8: Pemanjangan ( الاطناب  )

Al-Quran dalam bebarapa keadaan mengenengahkan bahasa yang agak panjang seperti mengulang beberapa ungkapan yang dibincangkan.  Konteks ini dinamakan  al-itnab.  Jika dilihat kepada aspek pengulangan pada pandangan ahli retorik Arab,   ia bertujuan untuk menguatkan kata-kata tetapi sebahagian besar ahli tafsir berpendapat ia bukan sahaja untuk menguatkan kata-kata bahkan lebih  dari itu ia mempunyai makna yang mendalam (Fadl Abbas: 1991: 229). Contohnya di dalam surah al-Kafirun diulang ayat berikut sebanyak dua kali:

لاَ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُون

Maksudnya : “Aku tidak sembah apa yang kamu semua sembah” (Surah al-Kafirun : 3).

 

Setelah diteliti makna surah keseluruhannya  dan tujuan pengulangan tersebut didapati bahawa ayat pertama adalah berupa dakwaan, iaitu dakwaan Nabi s.a.w bahawa Baginda tidak menyembah apa yang disembah oleh orang- orang Jahiliah.  Manakala ayat kedua adalah bukti kenapa Nabi s.a.w tidak menyembah berhala, iaitu kalaulah  sebelum diangkat menjadi Nabi aku tidak menyembah berhala bagaimana aku akan menyembahnya selepas aku diangkat menjadi nabi.

 

Penutup

          Kertas kerja ringkas ini adalah sebahagian usaha untuk menzahirkan kemukjizatan bahasa al-Quran. Ternyata ayat-ayat Allah s.w.t mempunyai nilai kemukjizatan bahasa yang menjangkau para pujangga bahasa ketika penurunnanya. Kenapakah kemukjizatan ini dapat diukur dan dizahirkan? Tentunya kerana ia diturunkan  di dalam satu bahasa yang khusus iaitu bahasa Arab. Mereka yang berakal sudah pasti dapat menyelami hikmah yang besar di sebalik penurunan di dalam bahasa Arab. Benarlah firman Allah s.w.t yang mafhumnya:

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran di dalam bahasa Arab yang mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang berakal (untuk memikirkan hikmahnya)” (surah Yusuf:2)

 

 

 

Artikel Ilmiyyah 1[29]

PENYEMBELIHAN KORBAN: BUKTI KEMUKJIZATAN SYARIAT AL-QURAN

            Ibadat korban adalah ibadat yang dituntut di dalam Islam, bahkan sesetengah Fuqaha` berpendapat ianya adalah wajib bagi mereka yang berkemampuan. Apabila membicarakan tentang ibadat korban maka sudah pasti aspek penyembelihan mempunyai kaitan yang rapat dengan ibadat korban. Ini kerana, ibadah korban wajib disempurnakan menurut syarat-syarat sembelihan yang telah digariskan oleh Syara`. Dalam sedar atau tidak syariat sembelihan yang digariskan oleh syara` mempunyai nilai keunikan dan kemukjizatan tersendiri. Ini disitilahkan sebagai kemukjizatan syariat di dalam al-Quran (al-’I`jaz al-Tasyri`iy). Hal ini samalah dengan keunikan ibadat solat, ibadat puasa, haji dan lain-lain. Kesemua ibadat ini mempunyai keunikan tersendiri yang terkadang menjangkau akal pemikiran manusia.

            Dalam menyempurnakan ibadat korban, adab-adab sembelihan hendaklah dihalusi khususnya kepada mereka yang akan melaksanakan penyembelihan tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah s.w.t telah menentukan belas ihsan kepada setiap sesuatu, justeru apabila kamu menyembelih hendaklah kamu sempurnakan dengan sebaiknya sembelihan itu, dan hendaklah penyembelih itu menajamkan pisaunya supaya dengan cepat dan mudah binatang itu mati (sahih riwayat muslim)”. Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda: “tidaklah seseorang itu membunuh seekor burung atau binatang yang lebih besar dari itu tanpa hak(tanpa menurut adabnya) melainkan binatang itu menuntut haknya di hadapan Allah s.w.t. Lantas para sahabat r.a bertanya: Apakah haknya? Rasulullah s.a.w menjawab:disembelih(dengan sempurna) dan dimakan, bukan dipotong kepalanya dan dibuang begitu sahaja(dihitung sahih oleh al-Hakim). Rasulullah s.a.w juga pernah menegur seseorang yang meletakkan kakinya di atas binatang yang akan disembelih lalu mengasah pisau, Rasulullah s.a.w bersabda: Bukankah binatang ini akan disembelih? Ataukah dia(lelaki tersebut) inginkan binatang ini dimatikan dengan dua kematian(dua kesakitan)(riwayat Tabrani, dihitung sahih)  

            Antara adab yang digariskan oleh Syara` dalam meyempurnakan sembelihan ialah:

1. Menyebut nama Allah s.w.t atau membaca al-basmalah serta berniat dengan niat yang baik.

2. Penyembelihan dilakukan di waktu siang hari.

3.Penyembelih mengadap ke arah kiblat.

4.Menajamkan alat sembelihan.

5.Tidak menampakkan alat sembelihan kepada binatang sembelihan.

6.Tidak disembelih seekor binatang dihadapan binatang sembelihan yang lain.

7.Jangan bertindak kasar terhadap binatang sembelihan seperti menarik kakinya ke tempat sembelihan.

8.Jangan menyembelih sehingga terputus kepalanya.

9.Pastikan sembelihan memutuskan halqum(saluran nafas), mari’(saluran makanan) dan dua urat di tepi leher.

10.Pastikan binatang sembelihan telah benar-benar mati sebelum proses melapah dilakukan.

            Ternyata adab yang digariskan oleh syara` bertujuan memastikan kesempurnan proses penyembelihan, memelihara nilai ihsan kepada binatang di samping penekanan dari sudut kesihatan dan kebersihan. Jika ditinjau penyembelihan yang menurut akal pemikiran manusia semata tanpa dipandu oleh panduan wahyu, maka muncullah penyembelihan berupa renjatan elektirk, kaedah stunning(pemengsanan iaitu dipengsankan sebelum disembelih), memutus keseluruhan kepala dan pelbagai bentuk sembelihan yang direka oleh manusia. al-Quran diturunkan memandu umat ini dengan syariat yag unik lagi mu`jiz.

            Melalui peredaran masa, kemajuan dan teknologi terus membuktikan kebenaran dan keunikan syariat al-Quran. Benarlah firman Allah s.w.t yang bermaksud: Kami (Allah s.w.t akan menunjukkan kekuasaan kami di afaq(langit dan bumi) dan pada diri kamu sehingga jelas kepada kamu bahawa bahawa dialah(Allah s.w.t) Tuhan yang sebenarnya…(Surah Fussilat:53 ). Kini pellbagai kajian ilmiyyah dijalankan untuk mensabitkan keunikan syariat al-Quran. Termasuklah syariat penyembelihan dengan segala adab kesempurnaan yang telah ditentukan oleh al-Quran dan petunjuk Baginda Nabi s.a.w. Dalam satu kajian makmal yang dilakukan oleh sejumlah 30 orang pegawai perubatan di negara Syria di mana kajian tersebut telah memakan masa selama tiga tahun. Dua sampel sembelihan telah dibawa ke makmal, sampel sembelihan yang menurut kaedah Islam dan sampel sembelihan yang tidak menurut kaedah Islam. Sampel sembelihan yang menuruti adab-adab Islam khususnya menyebut nama Allah s.w.t tatkala penyembelihan telah menghasilkan satu keputusan yang mengejutkan semua pakar perubatan yang menjalankan esperimen tersebut. Dua bentuk ujian telah dilakukan pertamanya mengukur jumlah bakteria pada daging sembelihan selepas 24 jam proses penyembelihan dan selepas dibasuh dengan dettol. Seperti yang diketahui bakteria boleh memudaratkan manusia, menjadi penyebab banyak penyakit berbahaya seperti taun (cholera), disentri(dysentri), keracunan makanan (food poisoning) dan lain-lain. Ukuran dijalankan dengan menggunakan perantaraan (medium) sodium thioglucolate dan Levine medium (EMB). Selepas 48 jam, hasil esperimen menunjukkan tiada pembiakan bakteria pada daging sembelihan Islam berbeza dengan sembelihan bukan Islam  di mana pembiakan bakteria begitu aktif sekali.

            Keduanya, pemerhatian terhadap tisu binatang sembelihan bukan cara Islam di mana terdapat banyak sel darah putih (leukocyte) dan sel darah merah (erythrocyte). Ini berpunca daripada pembiakan bakteria yang ditunjukkan dalam proses pembengkakan tisu (inflammatory process). Ini berbeza dengan sembelihan Islam di mana kurangnya pembentukan sel darah putih dan sel darah merah pada tisu daging yang menunjukkan kurangnya atau tiadanya pembiakan bakteria.(Majallat al-Ayat 2004)

            Subhanallah, maha suci Allah s.w.t, Tuhan yang telah menurunkan al-Quran dengan segala kemukjizatannya. Marilah kita membesarkan Allah s.w.t dengan mentaati segala perintahnya, berkorban untuk kebenaran agama yang diturunkanNya. Selamat menyambut hari raya korban. 

 

Artikel Ilmiyyah 2

MUNGKINKAH  RAYA SERENTAK

 

 

            Apabila membaca fenomena yang berlaku di negara barat, rungutan majikan yang mempunyai ramai pekerja muslim lantaran permohonan cuti hari raya yang berbeza beza. Muslimpakistan, muslim Arab Saudi, muslim Turki dan lain lain, masing masing memohon cuti mengikut hari raya di negara masing masing. Sebahagian majikan mengkritik Islam itu sendiri. Lebih Eroninya mereka menuduh Islam agama yang menyuruh kepada perpecahan umatnya sendiri. Dan ada juga di antara mereka yang dengan sinis mengaitkan perpecahan dunia Islam hari ini berpunca daripada ajaran Islam itu sendiri. Persoalannya, mungkinkah umat Islam berpuasa dan berhari raya atas tarikh yang sama?

            Penulis tertarik dengan pandangan dan perbincangan yang diutarakan oleh tokoh Fuqaha’ kontemporari al-Marhum Syeikh Mustafa al-Zarqa ketika membincangkan hadis-hadis Nabi s.a.w yang berikut:

 

“Berpuasalah kamu selepas melihat anak bulan, berhari rayalah selepas melihat anak bulan, jika mendung maka sempurnakanlah tiga puluh hari”(Riwayat Bukhariy Muslim dari Ibn Umar)

 

“Kita(masayarakat Arab ketika itu)  umat yang ummiy, tidak tahu menulis dan mengira(dengan tepat) bulan itu begini dan begini (terkadang dua puluh sembilan hari dan terkadang tiga puluh hari)” (Riwayat Muslim dari Ibn Umar)

 

Mustafa al-Zarqa menyimpulkan dari hadis hadis di atas, hukum melihat anak bulan Syawal atau Ramadan adalah wajib atas illat(sebab hukum) ketidakmampuan kita (masyarakat Arab ketika itu) menulis dan mengira dengan tepat. Kaedah usul Fiqh menyatakan: setiap hukum itu beredar di sekitar illatnya, hilang illatnya hilang hukumnya. Hari ini kita melihat kemajuan teknologi moden di dalam bidang astronomi telah membolehkan kita mengira kemunculan anak bulan dengan ketepatan yang tinggi.  Justeru, illat keperluan melihat anak bulan telah gugur. Dan kita boleh berpandukan sepenuhnya kepada perkiraan(al-Hisab al-Falakiy). Dengan berpandukan al-Hisab al-Falakiy tarikh permulaan puasa dan hari raya dapat diselaraskan di seluruh dunia Islam. Hujah dan idea yang sama dikemukakan oleh tokoh ilmu hadis syeikh Ahmad Syakir di dalam artikelnya yang bertajuk “permulaan bulan Arab: mungkinkah disabitkan secara perkiraan falak”.

            Prof. Wahbah al-Zuhayliy mengulas panjang di dalam bukunya al-Tafsir al-Munir berhubung penyelarasan permulaan puasa dan hari raya di dunia Islam hari ini. Dari sudut hukum dan geografi ianya adalah rasional untuk dipraktikkan. Tokoh ulamak masa kini Yusuf al-Qardawi di dalam bukunya Fatawa Mu`asirah dan Fiqh al-Siyam juga menegaskan perkara yang sama. Tokoh Fuqaha` mazhab  Syafi`iy, al Imam Qalyubiy menyatakan apabila perkiraan falak telah pasti (qat`iy) bahawa anak bulan tidak muncul maka tertolaklah penyaksian terhadap kemunculan anak bulan walau dari saksi yang adil sekalipun.   

            Mudah mudahan umat Islam dapat berpuasa dan berhari raya atas tarikh yang sama. Sekaligus ia mencerminkan nilai perpaduan dan penyatuan di kalangan umat Islam. Selamat menyambut hari raya Aidilfitri.

 

Artikel ilmiyyah 3[30]

KHUTBAH PERLU NAFAS BARU

 

Dalam satu khutbah Aidilfitri yang disampaikan baru baru ini, ternyata ia begitu berkesan sebagai methode dakwah yang sangat efektif, semua ahli jemaah terpesona dengan nasihat dan pengajaran yang disampaikan, di samping intonasi dan gaya penyampaian yang begitu memberansangkan. Anak-anak muda juga mula memikirkan tentang halatuju kehidupan mereka selepas mendengar hadis-hadis Nabi s.a.w dan ayat-ayat  al-Quran yang diketengahkan. Bayangkanlah jika semua masjid di Malaysia ini dapat menampilkan khatib yang sebaik ini, nescaya mesej Islam dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pengisian yang berkualiti. Malangnya pada hari ini, kita melihat institusi mimbar kaku, tidak dapat berfungsi dengan sebaiknya. Bukan senang untuk mandapatkan kehadiran jemaah yang ramai dalam satu satu masa sepertimana kehadiran mereka di dalam solat hari raya atau solat jumaat. Institusi mimbar seharusnya diperkemaskan, ditambahbaik, pihak berwajib dan bertanggunjawab hendaklah memainkan peranan sewajarnya. Amat merugikan apabila kita melihat fenomena di mana jemaah ketika mendengar khutbah jumaat atau khutbah hari raya dalam keadaan lena, mengantuk, mengharapkan ia cepat habis dan sebagainya. Apabila mendongak ke arah mimbar, rupanya pengisian dan penyampaian khatib amat mengecewakan, seperti melepaskan batuk di tangga.

Pengisian berkualiti adalah pengisisan yang semasa, kontemporari, menyentuh isu-isu dan permasalahan masyarakat setempat, kaitan yang tepat dengan nas-nas al-Quran dan hadis. penyampaian yang bertenaga pula hendaklah punya intonasi yang dapat menusuk ke dalam jiwa pendengar, bacaan nas-nas al-Quran dan hadis yang fasih, berkeyakinan, penyampaian yang mengambilkira reaksi pendengar ketika itu. Penyampaian secara ilqa`iy(terus tanpa terikat dengan teks) amat istimewa jika dapat disempurnakan dengan sebaiknya, nescaya akan terpesona para pendengar. Khutbah tidak perlu panjang dan meleret, lima belas minit sudah memadai, manfaatkan masa tersebut dengan sebaiknya.

Mewajibkan para khatib membaca khutbah yang diedarkan seharusnya diberikan sedikit kelonggaran untuk membolehkan para khatib mengutarakan isu-isu  atau permasalahan setempat. Para khatib pula apabila diberikan kelonggaran ini seharusnya tidak menyentuh isu-isu yang bersifat politik kepartian. Harus dibeda antara politik dan politik kepartian. Aspek politik, pentadbiran, pemerintahan tidak salah untuk dibicarakan tetapi jangan mengheret aspek-aspek ini ke kancah politik kepartian. Teguran, nasihat, pengajaran, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi s.a.w, sampaikanlah tetapi janganlah ianya bermotifkan politik kepartian. Mudah mudahan para khatib dan pihak yang bertanggungjawab dapat bertolakansur demi keberkesanan dan kelangsungan institusi mimbar yang merupakan methode dakwah yang sangat sinificant pada hari ini.    

 

Artikel Ilmiyyah 4[31]

KEUNIKAN PENURUNAN AL-QURAN DAN PENGUMPULANNYA

 

            Tanggal 17 Ramadan adalah tanggal turunnya al-Quran al-Karim. Allah s.w.t berfirman maksudnya: Bulan Ramadan itu diturunkan di dalamnya al-Quran….(al-Baqarah:185 ). Ibnu `Abbas menjelaskan maksud turunnya al-Quran di dalam bulan Ramadan ialah turunnya al-Quran keseluruhannya dari Luh Mahfuz ke Bait al-`izzah di langit dunia. al-Sya`biy menyatakan bulan Ramadan adalah bulan turunnya wahyu pertama( ayat 1 hingga 5 surah al-`Alaq) ketika baginda Nabi s.a.w ber`uzlah di gua Hira`.

            Jibril menurunkan al-Quran ke atas Nabi s.a.w dalam dua bentuk, pertamanya secara  langsung di mana Jibril mendatangi Nabi s.a.w  dan terus membacakan ayat-ayat al-Quran. Terkadang kedatangan Jibril seperti kedengaran bunyi loceng atau lebah. Penurunan seperti ini begitu berat bagi Nabi s.a.w. Manakala kaedah kedua ialah Jibril datang dalam bentuk menyeupai seorang lelaki dan menyampaikan wahyu Allah s.w.t.

            Apabila al-Quran diturunkan kepada Nabi s.a.w, baginda akan menghafalnya dan menyampaikannya kepada para Sahabat r.a. Para Sahabat r.a pula akan menghafal ayat-ayat al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Orang-orang Arab terkenal dengan kekuatan hafalan mereka. Sehingga ke hari ini kita melihat ramai di kalangan para cendiakawan Islam khususnya cendiakawan Islam Arab yang mempunyai hafalan dan ingatan yang luar biasa.

            Rasulullah s.a.w sentiasa disemak bacaan baginda s.a.w oleh Jibril di dalam setiap bulan Ramadan. Dan para Sahabat r.a yang menguasai al-Quran seperti Zaid bin Thabit, Abdullah bin Mas`ud, `Ali bin Abi Talib, Ubay bin Ka`ab dan lain-lain akan disemak bacaan mereka oleh Rasulullah s.a.w.   Sebahagian sahabat r.a akan menulis ayat-ayat al-Quran yang diturunkan dan menyimpannya dalam simpanan masing masing. Diriwayatkan bahawa sejumlah besar para sahabat yang menghafal al-Quran di zaman Rasulullah s.a.w. Justeru, al-Quran terpelihara di dada para sahabat r.a. dan tidak menjadi suatu keperluan yang mendesak untuk ditulis dan dibukukan al-Quran walaupun ramai di kalangan para sahabat r.a yang menulisnya.

            Di zaman Saidina Abu Bakar r.a ramai di kalangan sahabat r.a yang huffaz al-Quran syahid di medan perang. Saidina Umar r.a telah mencadangkan kepada Khalifah untuk dikumpulkan al-Quran. Maka dilantik Zaid bin Thabit mengetuai pengumpulan ini. Dan diisytiharkan kepada seluruh para sahabat r.a yang ingin menyumbang kepada pengumpulan al-Quran. Pengumpulan yang bermaksud mengumpul dan menyemak semua tulisan ayat-ayat al-Quran di atas pelepah tamar, batu, tulang belulang, kulit, daun dan kayu. Juga menentukan susunan surah dan ayat al-Quran. Ketika pengumpulan ini, satu proses yang details dan syarat yang ketat diletakkan oleh saidina Umar r.a dan Zaid r.a untuk menerima setiap tulisan yang disumbangkan oleh para sahabat r.a iaitu:

i.Mestilah ia menghafal ayat-ayat al-Quran yang ingin disumbangkan

ii.Menulis ayat-ayat tersebut.

iii.Menulis ayat-ayat tersebut di zaman Rasulullah s.a.w masih hidup.

iv.Mendatangkan dua orang saksi  bahawa ia menulis di zaman Rasulullah s.a.w masih hidup.

Zaid r.a dan Umar r.a (kedua duanya adalah penghafal al-Quran dan ahli al-Quran) akan menyemak dengan hafalan dan tulisan yang ada pada mereka. Barulah diterima sumbangan para sahabat tadi. Ternyata manhaj yang digunakan oleh Zaid r.a begitu teliti, bagi memastikan kesempurnaan pengumpulan al-Quran. Al-Quran yang telah sempurna pengumpulannya disimpan oleh Khalifah Abu Bakar r.a seterusnya Umar r.a diikuti Hafsah r.a.

            Dalam zaman Saidina Uthman bin Affan r.a, Islam berkembang ke luar semenanjung tanah Arab. Berlaku perbezaan dan pertelingkahan di kalangan orang bukan Arab berhubung bacaan al-Quran. Maka Saidina Uthman r.a sekali lagi mengamanahkan Zaid bin Thabit untuk menyelaraskan penulisan al-Quran dengan mengambilkira Sab`at Ahruf(tujuh qiraat) dan lahjah Quraish. Maka lahirlah al-Mushaf al-Uthmaniy yang telah di sepakati oleh para Ulamak akan kewajipan umat ini untuk berpandukan dengan al-Mushaf al-Utmaniy. Saidina Uthman r.a. telah mengarahkan saki baki tulisan al-Quran yang lain dibakar. Maka bersatulah umat ini dengan al-Quran yang satu. Dan al-Quran akan kekal terpelihara hingga ke hari kiamat. Berkata Prof Fawaaz Tuqan yang menukilkan kata-kata seorang profesor Yahudiy di Yale University. yang mengkaji tentang penurunan dan pengumpulan al-Quran: bahawa al-Quran telah terkumpul dengan rapi dan tiada padanya sebarang keraguan lagi. Inilah al-Quran umat Islam. Ia adalah kalam Allah yang terpelihara. Ia bukan bible umat Nasrani dan bukan Talmud umat Yahudiy yang mana keduanya hanyalah ilham para pendita. Selamat menyambut nuzul al-Quran dengan penuh keimanan dan keyakinan.

 

Artikel Ilmiyyah 5

H1NI:BUKTI KEKUASAN TUHAN

 

            Virus H1NI yang melanda negara kini begitu membimbangkan dan menakutkan, ternyata makhluk Allah s.w.t yang kecil ini boleh memusnahkan manusia dalam sekelip mata. Walaupun ia hanya dapat dilihat melalui teleskop elektron, tetapi kewujudannya sudah cukup untuk menjadikan masyarakat dunia panik. Virus H1NI adalah makhluk Allah s.w.t. Sebelum ini kita melihat bagaimana Allah s.w.t boleh memusnahkan manusia dengan makhluknya  yang besar seperti angin, air, api, bunyian, batu batan dan yang  terdekat ombak tsunami yang telah mengorbankan hampir ratusan ribu nyawa manusia. Ombak setinggi pokok kelapa menghempap dan memusnahkan manusia. Sehebat manapun tamadun manusia akan dapat dimusnahkan oleh Allah s.w.t. Kaum `Ad musnah dengan angin panas, kaum Thamud musnah dengan gempaan bunyi yang dahsyat, Firaun musnah dengan karam di laut merah, Abrahah musnah dengan burung ababil.

            Sejarah silam juga memaparkan kemusnahan mereka yang sombong dan bongkak hanya dengan makhluk Allah s.w.t yang kecil. Renungkanlah betapa sombongnya Namrud di dalam perdebatannya dengan Nabi Ibrahim a.s yang dirakamkan oleh al-Quran di dalam ayat berikut:

 

“Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Dia menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat? Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (Surah al-Baqarah:258)”

 

Namrud Raja Babylon dengan sombongnya mengaku seolah olah dialah Tuhan, dia boleh menghidupkan dan mematikan.  Dengan rendah diri Nabi Ibrahim mencabarnya agar menerbitkan matahari dari sebelah barat, dia gagal tapi terus dengan kesombongan lantaran kekuasaan yang dimiliki. Raja Babylon yang sombong ini akhirnya musnah hanya dengan makhluk Allah s.w.t yang sekecil nyamuk. Dia menderita dengan gigitan nyamuk sehingga membawa kepada kemusnahannya. Benarlah kenyataan  Allah s.w.t yang boleh  membuat contoh perumpamaan walau dengan makhluk yang sekecil nyamuk. Firman Allah s.w.t:

 

“Sesungguhnya Allah tidak malu(berkuasa) membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.(Surah al-Baqarah:26)”

 

            Dalam keadaan wabak H1NI yang sedang melanda kini, di samping kita mengambil langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh pihak bertanggungjawab,  marilah kita meningkatkan keyakinan kita kepada kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t. Marilah kita buktikan keyakinan kita kepada kekuasaan Allah s.w.t dengan sentiasa melakukan perkara yang disuruh oleh Allah s.w.t dan menjauhi segala perkara yang ditegah dan dilarang oleh Allah s.w.t.

 

Artikel Ilmiyyah 6

MEKAH  PUSAT BUMI

            Dalam tempoh dua minggu ini, sebelum ketibaan hari wuquf yang dijangka pada 26 November ini, jemaah haji dari seluruh pelusuk muka bumi menuju tanah haram Mekah untuk menyempurnakan rukun Islam yang kelima. Tidak terkecuali jemaah haji dari negara kita Malaysia, di mana penerbangan demi penerbangan telah berlepas membawa jemaah haji ke sana. Dalam sedar atau tidak, jemaah haji yang bertolak menuju ke Tanah Haram Mekah, pada hakikatnya mereka menuju ke titik pertengahan dataran muka bumi Allah s.w.t. Tidakkah terlintas di dalam fikiran kita bahawa adanya keunikan pada lokasi Mekah di titik pertengahan daratan muka bumi Allah s.w.t. Sebagai tempat yang dituju oleh manusia dari seluruh pelusuk dunia untuk menunaikan ibadat haji, amat sesuailah lokasi Mekah berada di tengah-tengah daratan muka bumi. Allah s.w.t berfirman: “Dan serulah umat manusia untuk menunaikan ibadat haji (di Mekah), nescaya mereka akan datang dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan pelbagai jenis unta yang kurus, mereka datang dari berbagai ceruk rantau yang jauh” (Surah al-Hajj:27 )

            Dan tidakkah terlintas di dalam fikiran kita bahawa mungkinkah ketentuan ini adalah berdasarkan fikiran manusia? Ternyata tidak, bahkan ianya adalah ketentuan Allah s.w.t, Tuhan yang telah menurunkan al-Quran yang terkandung di dalamnya syariat ibadat haji yang ditentukan lokasinya di Tanah Haram Mekah. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Dan inilah Kitab al-Quran, Kami turunkan dia (al-Quran) yang mengandungi keberkatan(amat banyak faedah dan manfaat) dan ia mengesahkan Kitab yang diturunkan sebelumnya dan ia memberi peringatan kepada penduduk Ummul Qura(Mekah) dan mereka yang berada di sekelilingnya,  mereka yang beriman kepada hari akhirat akan beriman kepada al-Quran dan mereka amat memlihara solat mereka”. (Surah al-An`am :92)

 

Dr Husin Kamaluddin, seorang ilmuwan yang berasal dari Mesir, di dalam kajian ilmiyyahnya telah membuktikan bahawa Mekah berada di tengah-tengah daratan muka bumi. Dengan melukis sebuah bulatan yang mana Mekah berada di titik pertengahannya, bulatan tersebut akan menyentuh setiap hujung daratan bumi. Ini ditegaskan juga oleh seorang geologis dan pengkaji ilmu kemukjizatan al-Quran tersohor Prof Dr Zaghlul al-Najjar bahawa Mekah berada tepat di tengah-tengah daratan muka bumi. Bahkan beliau berpendapat bahawa di dalam proses kejadian bumi yang pada asalnya adalah lautan, daratan bumi timbul secara berperingkat-peringkat dan daratan yang mula-mula muncul adalah Mekah al-Mukarramah. Allah s.w.t berfirman: “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia(beribadat kepada Tuhannya) iaah Bitullah di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada alam keseluruhannya”(Surah Ali `Imran:96)  

 

Di dalam seminar Antarabangsa yang bertajuk “Mekah: Pusat Bumi-Antara Teori dan Praktikal” yang diadakandi Doha,Qatarpada 19 April 2008 yang lalu, beberapa resolusi telah diputuskan antaranya:

1. Mekah al-Mukarramah adalah pusat bumi.

2. Mekah adalah pusat tarikan magnetik bagi bumi.

3. Waktu jam Mekah hendaklah dijadikan ukuran waktu dunia, bukannya greenwich sepertimana yang digunapakai selama ini.

 

Inilah antara keunikan dan kemukjzatan syariat yang dinyatakan oleh al-Quran al-Karim yang kini terus dibuktikan kebenarannya. Ternyata bukti-bukti seperti ini menjadi wasilah dakwah yang sangat berkesan khususnya kepada mereka yang cintakan ilmu pengetahuan. Justeru tidak mustahil ramai para ilmuwan yang menerima hidayah Allah s.w.t melalui bukti-bukti seperti ini. Allah s.w.t juga menjelaskan bahawa bukti-bukti ini akan diperlihatkan sepertimana firman Allah s.w.t “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan kami di Afaq(langit dan bumi) dan pada diri kamu sendiri sehingga jelaslah bagi mereka bahawa kamilah (Allah s.w.t) Tuhan yang sebenarnya, Tidakkah cukup (bukti) lagi bahawa TuhanMu menjadi saksi kepada setiap sesuatu(Surah Fussilat: 53)

 

Ketika Islam dan umatnya mengepalai tamadun manusia beberapa abad yang lalu, barangkali kajian-kajian seperti ini tidak menjadi keutamaan kepada para ilmuwan Islam. Ini kerana dari sudut dakwah Islam tidak menerima cabaran dari aspek ini. Berbeza pada hari ini di mana musuh Islam telah menguasai ketamadunan, sains dan teknologi dan sebagainya. Manakala umat Islam agak ketinggalan  dari aspek in. Ini menjadikan aspek ini satu bidang dakwah yang penting untuk menjelaskan kepada bukan Islam akan keunikan dan ketinggian al-Quran yang terkadang mendahului penemuan-penemuan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu. 

 

Artikel Ilmiyyah 6

LINGKARAN API PASIFIK DI DALAM AL-QURAN

 

 

            Gempa bumi yang melanda Padang, Indonesia baru baru ini begitu menggerunkan. Ratusan dan mungkin ribuan manusia yang menjadi mangsa bencana tersebut. Sebelum ini juga kita telah menyaksikan gempa bumi ala tsunami yang telah memusnahkan Acheh. Sebagai manusia yang kerdil di sisi Tuhan yang maha berkuasa seharusnya kita menginsafi dan mengambil pengajaran dari bencana yang berlaku ini.

            Gempa bumi seperti dimaklumi adalah fenomena di mana berlaku pergerakan pada kerak bumi (Litosfera). Kerak bumi yang pecah dan merekah akan menggalakkan berlakunya gempa bumi. Ahli geologi telah menemui dan mengenalpasti kawasan yang kerap berlaku gempa bumi. Kawasan tersebut dikenali Lingkaran Api Pasifik (Ring of fire). Lingkaran Api Pasifik  merujuk kepada kawasan yang terletak mengelilingi Lautan Pasifik, yang kerak buminya pecah, merekah dan bergeser. Kawasan Lingkaran Api Pasifik ini berbentuk seperti ladam kuda dan merangkumi wilayah sepanjang 40,000 km. Kawasan ini juga sering disebut sebagai plat gempa Pasifik. Hampir 90% daripada gempa bumi yang pernah terjadi berlaku di sepanjang Lingkaran Api ini. Antara negara yang termasuk di dalam lingkaran ini ialah Indonesia, Filipina, New Zealand, Jepun, beberapa negara Amerika Selatan, beberapa wilayah Amerika Syarikat dan lain lain. Tidak terkecuali negara kita Malaysia.

            Kewujudan Lingkaran Api Pasifik ini telah diisyaratkan oleh al-Quran. Profesor Zaghlul al-Najjar, seorang pakar geologi dan pengkaji ilmu kemukjizatan al-Quran telah menjelaskan bahawa ayat 12 surah al-Tariq adalah merupakan isyarat al-Quran tentang kewujudan lingkaran ini. Ayat 12 surah al-Tariq bermaksud  “Demi bumi itu yang mempunyai rekahan“. Perkataan sada` yang digunakan oleh al-Quran dalam ayat tersebut bermakna rekahan. Walaupun sebahagian ahli tafsir berpendapat rekahan itu bermaksud rekahan  permukaan bumi di mana apabila permukaan bumi merekah maka keluarlah tumbuh tumbuhan dengan melata. Namun, menurut Profesor Zaghlul al-Najjar, dari sudut tafsiran ilmu kemukjizatan al-Quran rekahan yang dimaksudkan adalah rekahan yang berlaku pada kerak bumi yang merujuk kepada kawasan rekahan Lingkaran Api Pasifik.

            Tidak syak lagi, pelbagai penemuan-penemuan baru di dalam bidang geologi adalah selari dengan kenyataan dan fakta yang dinyatakan oleh al-Quran al-Karim. Bahkan al-Quran telah mengisyaratkan kenyataan dan fakta tersebut seribu empat ratus tahun yang lalu. Persoalannya kenapakah para cendiakawan Islam kini masih tidak mampu membongkar rahsia al-Quran ini. Penemuan Lingkaran Api  Pasifik yang telah diisyaratkan oleh al-Quran juga adalah hasil kajian mereka yang tidak beriman kepada kebenaran al-Quran al-Karim. Di Malaysia, kita masih menanti penubuhan sebuah akademi kajian kemukjizatan al-Quran yang akan membongkar rahsia al-Quran al-Karim dan menzahirkan pelbagai penemuan baru berdasarkan kenyataan dan fakta dari al-Quran al-Karim.     

 

Artikel Ilmiyyah 7

 

BERTOLAK ANSUR  PERKARA YANG DIPERSELISIHKAN

 

 

            Bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui bersama dan bertolak ansur dalam perkara yang diperlisihkan. Inilah kaedah dan seruan yang dilaungkan oleh tokoh ulamak, pemikir dan nasionalis bumi Mesir  al-Syeikh Rasyid Redha(1865-1935). Beliau berjuang di era memuncaknya perpecahan umat Islam, di era penjajahan barat, di era jatuhnya khilafah `Uthmaniah, khilafah Islam terakhir. al-Qaradawi ketika mengulas kaedah ini, mengemukakan nas-nas naqliy dari al-Quran dan hadis yang mendasari kaedah dan seruan ini.

Di kalangan kita umat Islam di Malaysia banyak perkara yang kita persetujui bersama dan banyak juga perkara yang kita perselisihkan. Tidak kira di dalam apa hal dan bidang sekalipun. Di dalam bidang politik banyak perkara yang kita persetujui bersama dan banyak juga perkara yang kita perselisihkan. Jadikan perbincangan ilmiyyah, perdebatan ilmiyyah, nasihat menasihati, tegur menegur dengan ikhlas serta sifat mahu bertolak ansur sebagai landasan untuk menyelesaikan perselisihan yang berlaku. Bukan fitnah menfitnah, benci membenci, saman menyaman, zalim menzalimi dan sebagainya. Di dalam bidang pemikiran dan intelektual, banyak perkara yang kita persetujui bersama dan banyak juga perkara yang kita perselisihkan. Amat malang apabila kita bergaduh dan berkelahi sesama saudara seagama hanya kerana perselisihan pandangan dan pemikiran. Lebih malang lagi, kerana perselisihan itu, maka terabainya perkara yang telah dipersetujui bersama. Kerana perselisihan itu tercalarnya kesucian agama, perpaduan bangsa dan keutuhan negara.

Ternyata imej Islam tercalar apabila perselisihan dari sudut pemikiran membawa kepada benci membenci, fitnah menfitnah dan saman menyaman sesama umat Islam. Apabila berlaku pertentangan  dan perselisihan pandangan antara sebuah Jabatan Agama Islam negeri dan seorang bekas mufti, begitu juga antara bekas mufti tersebut dan sebuah persatuan guaman, tidakkah kaedah yang disebutkan di atas boleh  dihayati dan dipraktikkan dalam usaha mencari penyelesaian yang menguntungkan umat ini. Bukankah lebih bermakna jika kesemuanya bertolak ansur dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku. Pihak Jabatan Agama bertolak ansurlah dengan memberi peluang dan peringatan kepada bekas mufti tersebut tanpa menyaman atau mendakwanya. Bekas mufti juga bertolak ansurlah dengan mematuhi enakmen yang telah diperuntukkan dan menyedari bahawa aliran pemikiran yang dibawa sebahagiannya tidak diterima oleh umat Islam di negara ini. Usah digasak umat ini dengan pemikiran yang sukar diterima. Untuk apa terus berkeras, jika berkeras nescaya  rugilah umat ini. 

 

Artikel Ilmiyyah 8

LIMA BUKTI KUKUH MUHAMMAD S.A.W SEORANG RASUL

 

 

Pendahuluan

 

Dalam kita menyambut Maulid al-Rasul(Kelahiran Rasul junjungan Muhammad s.a.w) marilah kita meningkatkan keyakinan kita terhadap kerasulan Muhammad s.a.w. Marilah kita meletakkan di dalam diri kita suatu kemuliaan yang istimewa terhadap Baginda s.a.w.  Terkadang keraguan dan kejahilan kita terhadap baginda Nabi s.a.w mengakibatkan kita tidak dapat menyelami keistimewaan Baginda s.a.w sebagai Rasul akhir zaman yang dengan itu juga kita semakin jauh dari tunjuk ajar dan syariat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Marilah kita menghayati lima bukti berikut bagi mengukuhkan keyakinan kita terhadap kerasulan Muhammad s.a.w:

 

 

i.al-Quran sebagai Mu`jizat terbesar

 

Cuba anda bayangkan apakah ada makhluk di atas muka bumi ini yang mampu mengada-adakan sebuah kitab seperti al-Quran al-Karim. Satu ayat, satu huruf  bahkan satu baris dari al-Quran, tiada siapa yang boleh merubahnya. Ia terpelihara di sisi Allah s.w.t. Kesemuanya mengandungi makna mendalam yang ingin disampaikan. Sejarah al-Quran diturunkan, dikumpulkan, dimashafkan sehingga sampai kepada kita pada hari ini telah diputuskan oleh para pengkaji sebagai mustahil berlakunya sebarang keraguan dan penipuan. Apakah anda boleh mendatangkan kitab-kitab samawi yang lain seperti al-Quran? Ternyata tidak…

Kitab al-Quran yang mu`jiz ini diturunkan kepada insan yang bernama Muhammad s.a.w. Mereka menuduh Muhammad menggunakan sihir untuk mencipta al-Quran….Apa mungkin begitu? Apakah al-Quran ini berada pada kedudukan kitab yang mampu diada adakan oleh manusia?Tidak sama sekali! Bukankah sihir itu melalui perantaraan iblis dan syaitan? Tetapi kenapa Iblis dan Syaitan tunduk kepada kemuliaan ayat kursi umpamanya. Al-Quran menkhabarkan peristiwa akan datang, peristiwa tumbangnya kerajaan Rom dan Parsi,  peristiwa saki baki mayat Firaun, teori-teori saintifik yang pelbagai, apakah Iblis dan Syaitan boleh menkhabarkannya?

Mereka menuduh Muhammad seorang penyair sehingga boleh mendatangkan al-Quran. Bukankah kita sendiri mampu membezakan yang mana hadis dan yang mana al-Quran. Gaya bahasa al-Quran yang unik dapat dibezakan dengan gaya bahasa Hadis. Jika Muhammad s.a.w mampu mencipta al-Quran, kenapakah Baginda tidak terus menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh orang Yahudiy tentang Zulqarnaian, tentang ashab al-kahfi, kenapa perlu tunggu sehingga 14 hari sehingga wahyu turun. Sedang Nabi s.a.w dalam keadaan tertekan memerlukan jawapan.  Jika Muhammad s.a.w mampu mencipta al-Quran, kenapakah Baginda terpaksa menunggu sehingga sebulan sebelum ayat surah al-Nur diturunkan sebagai jawapan kepada tuduhan dan fitnah ke atas `Aishah dalam Hadithat al-‘Ifk.

Dengan segala keunikan dan kemukjizatan yang ada pada al-Quran, dan ianya diturunkan kepada Muhammad s.a.w, maka ia secara langsung menjadi bukti kerasulan Muhammad s.a.w. Dengan kita meyakini keunikan dan kemukjizatan al-Quran, kita juga pasti meyakini kerasulan dan kenabian Muhammad s.a.w. Begitu juga kemukjizatan-kemukjizatan lain yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada baginda s.a.w

 

 

 

ii.Sejarah hidupnya, dirinya dan  peribadinya diteladani dari perkara yang sekecilnya hinggalah perkara yang sebesarnya.

 

Bertanyalah kepada diri anda apakah ada atas muka bumi ini seorang insan yang dirinya, perjalanan hidupnya, gerak gerinya diteladani sepertimana para sahabat dan umat Islam yang lain melakukannya terhadap Nabi s.a.w. Hayati nukilan Imam al-Tirmizi di dalam al-Syama`il tentang diri dan peribadi Rasulullah s.a.w. Hingga helaian uban di kepala Nabi pun dihitung oleh para sahabat r.a. Bagaimana Nabi berjalan, bagaimana Nabi berpakaian, bagaimana Nabi makan dan minum, bagaimana Nabi berdakwah, bagaimana Nabi  seorang bapa, bagaimana Nabi seorang pemimpin Negara, kesemuanya diperhatikan oleh para sahabat r.a. lantas diteladani dan disampaikan kepada generasi berikutnya melalui suatu disiplin ilmu yang detail dan tersusun sepertimana yang terdapat di dalam ilmu Mustalah al-Hadis. Kesemua ini pasti mengetuk minda kita bahkan minda mereka yang tidak beriman untuk menyatakan bahawa Muhammad adalah seorang Rasul dan Nabi.

 

iii.Keistimewaan Hadis Baginda s.a.w.

 

            Hadis merujuk kepada perkataan, perbuatan dan iqrar dari Nabi s.a.w. Hadis terdiri dari dua elemen penting iaitu sanad dan matan. Sanad beerti periwayatan hadis manakala Matan adalah isi kandungan hadis.

            Kenyataan tentang perkataan, perbuatan dan iqrar dari Muhammad s.a.w terpelihara sehingga ke hari ini. Pernahkah anda terjumpa di dalam sejarah ketemadunan manusia kata-kata seseorang yang dipelihara sepertimana terpeliharnya kata-kata Muhammad s.a.w.

            Dari sudut Sanad tahukah anda betapa detailnya disiplin ilmu Mustalah Hadis yang digunapakai bagi memastikan kesahihan hadis Nabi s.a.w sehingga timbulnya istilah hadis Mutawatir, hadis Sahih, hadis Hasan dan lain-lain.

            Dari sudut Matan, nescaya tidak akan ketemu hadis-hadis baginda s.a.w yang mutawatir atau sahih lagi sarih yang tidak benar atau bercanggah dengan fakta sebenar. Nabi s.a.w bersabda tentang tanda-tanda akhir zaman ternyata kesemuanya benar, Nabi s.a.w bersabda tentang peristiwa akan datang ternyata kesemuanya benar, Nabi s.a.w bersabda tentang aspek-aspek saintifik ternyata kesemuanya benar.

 

iv.Empat sifat wajib yang menjamin segalanya

 

Sidiq, amanah, tabligh dan fatanah adalah sifat para Rasul. Apakah terlintas di fikiran anda bahawa Muhammad s.a.w tidak sempurna sifat-sifat kerasulannya? Baginda diakui oleh kawan dan lawan sebagai seorang yang benar dan amanah dari zaman kanak-kanaknya hinggalah diangkat menjadi seorang Rasul.

Apakah ada kekurangan pada Baginda ketika menyampaikan dan menjelaskan ayat-ayat al-Quran yang diturunkan? Ketika menyampaikan khutbah haji perpisahan berkali-kali baginda merafa`kan ke hadrat Allah s.w.t agar menyaksikan segala tugas dan kewajipan yang telah disampaikan. Sehingga Allah s.w.t menurunkan ayat pengakuan bahawa agamanya yang diredai telah sempurna disampaikan.

Fatanah dan kebijaksanan Muhammad s.a.w tidak dapat disangkal lagi. Jika tidak masakan baginda menjadi seorang pemimpin Negara yang berjaya. Panglima perang  yang berjaya, Peniaga yang berjaya dan sebagainya. 

 

 

 

v.Muhammad s.a.w: insan yang akan dipertahankan sepanjang zaman.

 

Apabila disoroti kesemua tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan ke atas Nabi s.a.w, maka secara pasti kita akan melihat bangunnya para ulamak dan cendiakawan yang membela dan mempertahankan baginda s.a.w dengan hujah-hujah ilmiyyah yang sama sekali tidak dapat disangkal dan disanggah lagi. Pernahkah anda terjumpa di dalam lipatan sejarah, seorang insan yang dibela dan dipertahan sepertimana Muhammad s.a.w. Mereka menuduh Nabi s.a.w kaki perempuan, sedangkan kebanyakan isterinya adalah janda yang telah tua dan kematian suami. Mereka menuduh Nabi s.a.w pengganas, Sedangkan bagindalah yang melarang sebarang pembunuhan dan kezaliman terhadap wanita, kanak-kanak, orang tua dan  paderi yang sedang beribadat. Mereka mengatakan Muhammad s.a.w tidak tersebut di dalam Taurat dan Injil sedang secara pasti dan ilmiyyah bahawa kemunculan Muhammad s.a.w telah diisyaratkan di dalam Taurat dan Injil.

 

 

BIODATA

 

Nama: Dr Hj Mohd Fahmi Bin Abdul Khir

Tarikh lahir: 20 Mac 1974

Alamat Tetap:No 29 Jalan padi Malinja, Bendang Kerajaan, 33300 Gerik, Perak

No Tel: 05-7913287 (Rumah) / 019-3140182 (hp)

 

Pendidikan:

-Sek.Men. Keb. Agama Sultan Azlan Shah, Bandar Seri Iskandar.

-Kolej Islam Kelang.

-Madrasah al-Latifiyyat, Pengkalan Hulu.(Pondok Pakteh)

-Universiti of Jordan (Sarjana Muda Kepujian)

-Universiti Islam Antarabangsa (Diploma Pendidikan)

-Universiti Malaya (Sarjana)

-Universiti Malaya (Doktor Falsafah)  

 

Rumahtangga:

-Mendirikan rumahtangga pada 03 / 03 / 2002 dengan Dr Halipah Binti Khalid, Pegawai Perubatan di kilnik Ibu dan Anak, Pejabat Kesihatan, Gerik.

-4 orang cahaya mata, dua lelaki dan seorang perempuan.1.Muhammad Fathi 2.Muhammad Fariz 3.Nur Fakhrina 4.Muhammad Faruqi

 

Kerjaya :

-Guru agama di Sek Men Taayah, Ipoh.

-Guru agama di SMKA Maahad Muar, Muar.

-Guru agama di Sek Men Tun Perak, Padang Rengas.

-Guru Bahasa Arab di Matrikulasi, UIA.

-Tutor di Fakulti Bahasa, UPM.

-Guru agama di Sek Men Sultan Idris Shah II, Gerik.

-Pensyarah Kolej Komuniti Gerik (sekarang)

 

Pengalaman/Pengiktirafan:

-Guru agama bertauliah, Jabatan Mufti Perak.

-Pengkursus dan penceramah haji Negeri Perak.

-Ahli muzakarah haji negeri Perak. Menyertai muzakarah haji peringkat kebangsaan.

-Amil Profesional Zakat, Majlis Agama Islam Perak

-Pengerusi Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan al-Quran, Pondok Air Jernih, Gerik.

-Panelis Radio Perak fm

-Pendakwah (Penceramah, ahli panel forum, Imam, khatib, guru agama masjid dll.

 

Karya dan Kertas Kerja:

-Pengguguran kata dan ayat : Satu Analisis Kemukjizatan al-Quran(Disertasi Sarjana)

-Kesan Bahasa Arab terhadap Perselisihan Ahli Fiqh: Kajian Khusus Kitab Bidayat al-Mujtahid Wa Nihayat al-  Muqtasid.(Tesis PHD)

-Kemukjizatan al-Quran: Bukti kebenaran Islam dan Kerasulan Muhammad s.a.w

-Bacaan al-Quran Dan Kemukjizatan bahasa al-Quran.

-Puasa Ramadan: satu Ibadat yang unik

-Mutiara Indah Di dalam tafsiran Surah al-Sajdah

-Surah al-Qadr dan kemukjizatan Bilangan di dalam al-Quran.

-Fadhilat Surah al-Fatihah

-Soal Jawap Puasa.

-Risalah Umrah dan Ziarah.

-Perkahwinan dan Perceraian: Keadilan di dalam Islam

-Islam dan psikologi: Satu pendekatan untuk Penolong Pendaftar nikah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

     

             

           

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


[1] Dibentangkan semasa:

i.Seminar Bahasa al-Quran di Institut Perguruan Bainun

ii.Seminar sempena tilawah al-Quran peringkat negeri perak di UPSI

[2] Manna:` Qatan, Mabahis Fi `Ulum al-Quran h.257-275

[3] al-Suyutiy, al-Itqan Fi `Ulul al-Quran h.189

[4] Manna:` Qatan, Mabahis Fi `Ulum al-Quran h.118-141-Beliau menjelaskan dengan terperinci proses pengumpulan al-Quran.

[5] Abdul Rahman al-Habannakah, al-`Aqidah al-Islamiyyah h.496-498-Beliau menjelaskan tentang proses pembukuan kitab-kitab samawi dari perspektif kajian ilmiyyah.

[6] Mustafa Sadiq al-Rafiiy, ‘I`jaz al-Quran Wa Balaghah Nabawiyyah, 228

[7] Mohd Fahmi Abdul Khir, pengguguran kata dan ayat: satu analisis kemukjizatan al-Quran h.16

[8] Majallat al-Ayat, siri 2, h.25

[9] Majallat al-Ayat, siri 4, h.18-21-penjelasan Dr  Ir Faiq al-Ubaydiy tentang fakta tersebut.

[10] http://www.elnaggarzr.com/ Majallat al-Ayat, siri 5, h.6-penjelasan Dr Zaghlul al-Najjar tentang fakta tersebut.

[11] Dibentangkan sempenaMajlis Melihat Anak Bulan Ramadan di Baitul Hilal

[12] Web al-Qardhawi

[13] Al-Bayan Fi I’jaz al-Quran h.327

[14] al-Jami’ Li ahkam al-Quran j.2, h.184

[15] Al-Bayan Fi I’jaz al-Quran h.327

 

[16] Fatawa Mustafa al-Zarqa h.157

[17] al-Fatawa al-Mu’asirah j.2, h. 207

[18] al-Fiqh al-Islamiy Wa Adillatuhu j.3, h.1662

[19] Web Islam online

[20] Ma’a al-Tib Fi al-Quran al-Karim.

[21] Web Islam online

[22] Web Islam online, makalah Dr Muhammad Taj

[23] Ma’a al-Tib Fi al-Quran al-Karim h.202

[24] Web Islam online

[25] Web Islam online, makalah Dr Muhammd Taj.

[26] Fiqh al-Siyam, Yusuf al-Qardhawi

[27] Lihat Ihya` ‘Ulum al-Din j.1, h. , al-Ghazaliy

[28] dibentangkan sempena seminar kemukjizatan al-Quran di Dewan Persidangan Gerik Perak

[29] Disiarka di dalam akhbar utusan malaysia

[30] Disiarkan di dalam akhbar utusan  malaysia

[31] Disiarkan dalam akhbar utusanmalaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s